Sah kelibat pak belang di Pos Kuala Mu
IPOH - Jabatan Perlindungan Haiwan dan Hidupan Liar (Perhilitan) Perak mengesahkan terdapat kelibat harimau belang yang dikesan di Pos Kuala Mu, Sungai Siput seperti yang tular di media sosial sejak Isnin.
Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, pegawai Perhilitan Perak telah diarahkan ke lokasi untuk melihat jika terdapat sebarang jejak ditinggalkan haiwan liar itu.
"Ya, kita ada terima (aduan). Berdasarkan tinjauan yang dibuat memang betul ada kesan kehadiran harimau belang.
"Tapi orang ramai tak perlu bimbang kerana kawasan tersebut memang menjadi habitat haiwan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Yusoff dalam pada itu menasihati orang ramai terutama penduduk setempat supaya berhati-hati.
Menurutnya, orang ramai diingatkan supaya tidak memasuki kawasan hutan bersendirian dan ketika suasana gelap.
Beliau turut meminta sesiapa yang terserempak dengan harimau belang tersebut untuk tidak mengganggu haiwan itu.
Jelasnya, jika terjumpa dengan anak harimau, elak daripada cuba menangkap haiwan tersebut bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Terdahulu tular rakaman video di media sosial yang memperlihatkan kelibat seekor harimau belang berhampiran jalan di Pos Kuala Mu, Sungai Siput.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!