'Pengguna jangan risau harga ayam'
MELAKA - Peniaga ayam segar di sekitar negeri ini menasihati pengguna tidak gusar selepas kerajaan menamatkan subsidi dan harga kawalan ayam bermula esok.
Rata-rata peniaga yang ditemui Sinar Harian pada Selasa memaklumkan kenaikan harga ayam yang agak tinggi tidak akan berlaku sekiranya bekalan ayam mencukupi.
Peniaga di Pasar Awam Bachang, Ahmad Bakhtiar Omar, 48, berkata, setakat ini bekalan ayam sentiasa ada dan mengakui terdapat penurunan dan kenaikan harga ayam dalam seminggu dua ini, namun kenaikan itu tidak sehingga membebankan pengguna.
Menurutnya, sama ada terdapat subsidi ataupun tidak, ia bukanlah isunya kerana di pasar walaupun harga ayam sekilogram RM9.40, namun pengguna masih boleh tawar-menawar berbanding di tempat lain.
"Kalau kita dapat bekalan ayam dengan harga murah jadi kita akan jual murah, begitu sebaliknya dapat mahal kita terpaksa jual mahal.
"Sehingga ini harga ayam masih murah dan tidak berlaku pun pembelian panik dalam kalangan orang ramai," katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya yang sudah berniaga berbelas tahun, jika dia meletakkan harga yang mahal sudah pasti pengguna tidak akan membeli lebih-lebih lagi terdapat hampir 20 peniaga ayam segar di pasar berkenaan.
"Jangan risau, harga ayam turun naik kita sentiasa lawan harga. Kalau jual mahal mesti tidak laku, tentulah kita nak jual murah nanti cepat habis.
"Minggu lalu harga ayam turun sehingga RM8 lebih dan ada masanya naik sehingga RM10 sekilogram tetapi tidak lebih daripada RM10," katanya.
Bagi peniaga, Ghazali Abu Bakar, 49, dia turut menyokong keputusan kerajaan untuk mengapungkan harga siling ayam kerana yakin ia tidak akan membebankan pengguna.
"Kita tidak ada masalah ikut apa yang kerajaan laksanakan dan pembeli tak perlu bimbang," katanya.
Suri rumah, Fazliana Samsul Bahari, 40, berkata, walaupun mungkin berlaku kenaikan harga selepas kawalan harga ayam tiada lagi, dia tetap akan membeli ayam di pasar kerana lebih terjamin kesegaran dan kualitinya.
Bagaimanapun dia berharap kenaikan tidak terlalu tinggi hingga mencecah RM30 bagi seekor ayam seperti yang berlaku sebelum ini.
"Nak tak nak kita tetap kena beli ayam sebab anak-anak suka ayam dan saya lebih selesa membeli di pasar kerana tidak rasa was-was cara penyembelihan ayam.
"Harap kerajaan terus memantau supaya golongan B40 terutamanya tidak terbeban jika berlaku kenaikan harga ayam," katanya.
Pesara tentera Sidek Salleh, 60, dari Tanjung Minyak juga berharap harga ayam yang dijual berpatutan di bawah RM10 sekilogram.
"Harap esok tidaklah berlaku kenaikan mendadak dan pihak bertanggungjawab perlu turun padang dan memantau harga runcit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!