Fokus gencatan senjata, salur bantuan kepada Palestin - Tok Mat
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Malaysia perlu terus fokus mengusahakan gencatan senjata dan menghulurkan bantuan kemanusiaan sepantas mungkin kepada rakyat Palestin di Gaza susulan kekejaman Israel yang terus dibiarkan oleh kuasa besar dunia.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia dan beberapa negara Islam lain mesti terus meningkatkan kerjasama dengan Mesir untuk membuka laluan Rafah ke Gaza.
Menurutnya, Mesir adalah negara paling penting dan strategik dengan mengambil kira kepentingan negara itu dan hubungannya dengan Israel dan kedudukannya yang paling hampir dengan Gaza.
"Keduanya, koridor kemanusiaan yang lestari dan kekal mesti segera dibangunkan membolehkan bantuan kemanusiaan segera sampai ke daerah konflik.
"Paling penting, koridor seumpama ini akan menjadi laluan khas untuk mengeluarkan mereka yang tercedera dan sakit bagi mendapatkan rawatan di Mesir atau negara lain.
"Dengan wujudnya koridor kemanusiaan dan keamanan ini, bantuan kemanusiaan akan lebih teragih dengan tersusun dan menyeluruh," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, penubuhan koridor tersebut hanya boleh direalisasikan dengan persetujuan Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.
Justeru katanya, Kesatuan Eropah (EU) dan Liga Arab wajar memainkan peranan sebagai badan pemantau yang efisien.
"Penglibatan EU dan Liga Arab adalah bagi mewakili kepentingan keselamatan pelbagai pihak yang berkonflik.
"Liga Arab adalah sangat penting kerana krisis ini bukan lagi sekadar konflik Hamas Israel, tetapi mula menjadi krisis Arab Israel, dan mengancam kestabilan Timur Tengah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!