Polis pandang serius penjualan senjata angin, tiruan

Polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan memiliki, membeli, menjual dan mengedarkan senjata angin dan tiruan. - Gambar hiasan
Polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan memiliki, membeli, menjual dan mengedarkan senjata angin dan tiruan. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan memiliki, membeli, menjual dan mengedarkan senjata angin dan tiruan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berikutan pihaknya ada menerima aduan daripada orang ramai yang gusar tentang urusan pembelian, penjualan dan pengedaran secara dalam talian apa sahaja senjata termasuk senjata angin atau tiruan yang mudah diperoleh.

Susulan itu, Hussein menasihati masyarakat agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti itu atau berdepan tindakan undang-undang.

"Pada tahun lalu, tindakan undang-undang telah diambil berhubung satu kejadian melepaskan tembakan menggunakan senjata tiruan di Shah Alam dengan suspek kes ini telah dituduh di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan dihukum denda RM1,000," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Hussein berkata, penggunaan senjata tiruan juga boleh mendatangkan kecederaan sehingga parah dan menyebabkan kematian.

"Bagi kesalahan mengakibatkan kecederaan, ia boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat.

"Bagi kesalahan mencederakan orang yang menyebabkan kematian, ia boleh dihukum bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Selain itu, Hussein berkata, bagi kegiatan membeli, menjual, memiliki dan mengedarkan apa-apa senjata berbahaya selain senjata api, ia merupakan kesalahan bawah Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Artikel Berkaitan:

"Sabit kesalahan boleh dipenjara satu tempoh tidak melebihi dua tahun dan disebat,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!