Kerajaan akan terus perkasa pengurusan air negara - PM

Anwar (kanan) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Air Negara Ke-5 (MAN 5) pada Selasa. - Foto: FB Anwar Ibrahim
Anwar (kanan) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Air Negara Ke-5 (MAN 5) pada Selasa. - Foto: FB Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus memperkasa pengurusan air negara melalui Dasar Air Negara yang akan dimuktamadkan selepas sesi libat urus dengan kerajaan negeri dilaksanakan.

"Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Air Negara Ke-5 (MAN 5) sebagai platform penting di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang bertanggungjawab menetapkan dasar, hala tuju dan pendekatan berhubung dengan pengurusan dan pembangunan air negara,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Bagi mengurangkan risiko bencana berkaitan dengan kegagalan empangan yang memberi ancaman kepada rakyat Anwar berkata, Pusat Teknikal Empangan dan Infrastruktur Air (PTE) akan diselaraskan dengan menempatkan pegawai-pegawai yang berpengalaman merentas kepakaran untuk melaksanakan pengawasan dan pemeriksaan daripada aspek keselamatan dan teknikal empangan secara berpusat.

Menurut Anwar, kerajaan juga mengambil perhatian serius terhadap isu pencemaran air dan beliau telah mengarahkan semua jabatan, agensi di peringkat Persekutuan untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama kerajaan negeri berdasarkan Laporan Status Kualiti Air Sungai Negara.

"Saya singgung akan keperluan kita untuk mengimbangi ketersediaan serta keperluan air negara dengan menguruskan sumber air dengan lebih efektif berdasarkan prinsip tatakelola yang terbaik supaya ia boleh digunakan secara optimum bagi memenuhi keperluan rakyat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!