Briged al-Qassam, al-Quds dakwa kemaraan musuh hanya temberang

Gerakan Hamas memaklumkan konvoi kereta kebal Israel yang menghampiri Gaza terpaksa berundur selepas pertempuran sengit tercetus. - Foto: Agensi
Gerakan Hamas memaklumkan konvoi kereta kebal Israel yang menghampiri Gaza terpaksa berundur selepas pertempuran sengit tercetus. - Foto: Agensi
A
A
A

GENTING GAZA - “Tentera musuh menghebahkan kemajuan palsu berhubung cubaan mereka untuk menembusi bumi Gaza".

Kenyataan itu dikeluarkan jurucakap sayap tentera gerakan Jihad Islam, Briged al-Quds selepas rejim Zionis mendakwa operasi serangan darat dilancarkan mereka semakin mara ke wilayah tersebut sedangkan ia hanya auta semata-mata.

“Pejuang Palestin telah menyekat kemaraan mereka dan menyebabkan kerugian yang besar kepada musuh. Tentera Israel berjaya ditumpaskan dengan mudah menerusi serangan hendap. Mereka sengaja menempah maut kerana mahu menceroboh Gaza,” kata Abu Hamza menerusi kenyataan video pada Isnin.

Abu Hamza juga menyelar sikap sambil lewa rejim Tel Aviv hingga sanggup mempertaruhkan nyawa ‘tawanan’ setelah sebahagiannya turut maut akibat serangan membabi buta dilancarkan rejim Zionis.

“Kami tidak akan membenarkan Israel mengeksploitasi rundingan bagi pembebasan ‘tawanan’ demi untuk mencapai matlamat mereka,” tegasnya.

Sebelum itu, gerakan Hamas memaklumkan konvoi kereta kebal Israel yang menghampiri Gaza terpaksa berundur selepas pertempuran sengit tercetus.

“Tiada kemaraan unit darat seperti dicanangkan musuh di kawasan kejiranan di Genting Gaza.

“Insiden di Salah al-Din Street adalah pencerobohan beberapa kereta kebal dan jengkaut milik Israel,” ujar Ketua Pejabat Hamas di Gaza, Salama Maarouf. - Agensi

Artikel Berkaitan: