Bomba selamatkan OKU terperangkap dalam kebakaran
BATU GAJAH - Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki kurang upaya (OKU) dalam kebakaran sebuah rumah kedai dua tingkat di Taman Pusing Mutiara di sini pada Selasa.
Dalam kejadian sekitar jam 5.20 petang itu, mangsa berusia 38 tahun dilaporkan terperangkap di dalam bilik tingkat atas premis berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarozi Nor Ahmad berkata, mangsa berjaya dibawa turun dengan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
"Pemeriksaan kemudiannya mendapati, mangsa telah terhidu asap yang banyak dan dia telah dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah pada jam 5.26 petang dan sebaik tiba di lokasi, didapati premis telah terbakar 70 peratus.
Katanya, anggota membuat kerja pemadaman kebakaran menggunakan dua aliran sepanjang 40 meter dan satu aliran salur bantu mula daripada sumber pili bomba sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
"Operasi pemadaman turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar dan Pasukan Bomba Sukarela Pusing melibatkan keseluruhan 29 anggota," katanya.
Operasi yang diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Mohd Norshah Shahri itu tamat pada jam 7.02 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!