Segerakan reformasi institusi atasi ketirisan wang awam

Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Muhammad Fazril)
Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Muhammad Fazril)
A
A
A

SHAH ALAM - Reformasi institusi perlu segera dilaksanakan bagi mengatasi isu ketirisan wang awam dan pembaziran wang kerajaan.

Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohammad Fazril Mohd Saleh berkata, pendedahan tersebut bukan saja tidak normal, malah sangat memalukan.

“Apatah lagi apabila ia melibatkan kementerian dan agensi serta jabatan berkaitan di pelbagai peringat baik di persekutuan dan negeri.

“Justeru, reformasi institusi mesti dilaksanakan dengan segera, sebagaimana cadangan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM) Integriti, Governans dan Antirasuah (IGAR) khasnya dalam konteks pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pindaan Akta SPRM 2009, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, pindaan Akta Suruhanjaya Kehakiman 2009, penggubalan Akta Perolehan, penggubalan Akta Pendanaan Politik, reformasi Parlimen dan pelaksanaan penuh Pelan Anti Rasuah Nasional,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dari tempoh 2020 hingga 2021 yang mengenal pasti 24 isu melibatkan ketirisan wang awam dan pembaziran di beberapa kementerian, agensi serta jabatan peringkat persekutuan serta negeri.

Dalam pada itu, Mohammad Fazril turut bersetuju dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah yang memutuskan supaya LKAN dibentangkan secara berkala kepada jemaah menteri dengan format pelaporan baharu lebih berstruktur dan terperinci.

"Namun ia perlulah sesuai dengan mandat Ketua Audit Negara dan melibatkan pertanggungjawapan kepada awam," katanya.

Tambahnya, laporan Ketua Audit Negara tidak hanya melaporkan permasalahan, tetapi laporan itu juga memberikan syor dan saranan penambahbaikan.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi apa yang amat menyedihkan apabila saranan-saranan ini seperti tidak diendahkan dan setakat yang rakyat maklum, tiada sebarang tindakan termasuk hukuman diberikan ke atas mereka yang bersalah.

"Ini membawa kepada defisit kepercayaan rakyat kepada institusi kerajaan dan menuntut agar berlakunya reformasi yang komprehensif dalam menangani permasalahan ini," katanya.