RTG nilai tambah buat Aniq baiki prestasi - PABM

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Ayub
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Ayub
A
A
A

PEMILIHAN jagoan angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan sebagai atlet terbaharu yang tersenarai dalam program Road to Gold (RTG) disifatkan sebagai petanda positif.

Malah, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat yang gembira pemilihan Aniq turut berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Jawatankuasa RTG.

“Penyertaan atlet ini dalam Program RTG ini akan memberikan kelebihan kepada Aniq untuk sentiasa meningkatkan prestasi semasa untuk layak ke Sukan Olimpik.

“Ini kerana kedudukan ranking dunia angkat berat ini sentiasa berubah serta mendapatkan keperluan sukan bagi membolehkan kedudukan ini dapat ditingkatkan ke kedudukan yang lebih baik,” katanya pada Selasa.

Aniq sebelum ini satu-satunya 'muka baharu' diumumkan Jawatankuasa RTG yang dipengerusikan Hannah, yang tersenarai untuk RTG selepas menduduki tangga ke-10 dalam ranking Olimpik.

"Kedudukan itu melayakkan Aniq berada dalam program kerana ranking 10 terbaik merupakan sebahagian daripada kriteria RTG.

"Dengan sokongan yang betul, Aniq mempunyai potensi besar untuk meningkatkan personal best iaitu 291 kilogram (kg) kurang 3kg dengan pencapaian pemenang pingat gangsa Olimpik 2020 iaitu 294 kg," kata Hannah selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa RTG di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Dalam pada itu, Ayub berkata, Aniq kini giat melakukan persiapan untuk tiga lagi kejohanan kelayakan Olimpik di Kejohanan IWF Grandprix 2(4 hingga 14 Disember 2023), Qatar, Kejohanan Angkat Berat Asia di Uzbekistan (3 hingga 10 Februari 2024) dan Kejohanan Angkat Berat Dunia di Phuket, Thailand (2 hingga 12 April 2024).

Artikel Berkaitan:

“PABM menyasarkan atlet Aniq berupaya untuk mengangkat bebanan 300kg keseluruhan dalam disiplin Snatch dan Clean & Jerk di Kejohanan IWF Grandprix 2, Qatar.

“Di samping itu, seorang lagi atlet negara, Muhamad Aznil Bidin akan terus bersaing untuk mendapatkan kedudukan terbaik dalam kejohanan tersebut,” katanya lagi.

Sementara itu, Ayub memaklumkan Mesyuarat Exco PABM pada Selasa juga menerima rayuan secara bersyarat dua negeri yang digantung berikutan isu doping apabila mereka dibenarkan menyertai Sukma Sarawak 2024.

“Penggantungan atlet angkat berat Perlis dikekalkan iaitu sehingga 31 Mei 2024 manakala penggantungan atlet Terengganu adalah sehingga 30 Jun 2024.

“PABM akan mengenakan tindakan tegas sekiranya berlakunya kes berulang sebelum, semasa atau selepas Sukma Sarawak 2024.

Kedua-dua negeri berada dalam pantauan doping oleh Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS),” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!