ACT: Speedy Tigress gagal ke separuh akhir dibenam China 0-4

Skuad Speedy Tigress yang menduduki ranking ke-18 dunia akan beraksi menentang pasukan di kedudukan tercorot, Thailand pada aksi terakhir liga sepusingan Khamis ini. - Foto: FB MHC
Skuad Speedy Tigress yang menduduki ranking ke-18 dunia akan beraksi menentang pasukan di kedudukan tercorot, Thailand pada aksi terakhir liga sepusingan Khamis ini. - Foto: FB MHC
A
A
A
PASUKAN hoki wanita kebangsaan gagal mara ke pusingan separuh akhir kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita 2023 selepas dibenam 0-4 oleh juara Sukan Asia, China, malam ini.

Pada aksi di Stadium Hoki Marang Gomke Jaipal Singh Astroturf di Ranchi, India itu, Zhong Jiaqi muncul pemain terbaik selepas meledak hatrik menerusi jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-16 dan ke-30 serta gol padang pada minit ke-51.

Satu lagi gol China, yang menduduki ranking ke-10 dunia, dijaringkan oleh Zou Meirong menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-22 pada aksi liga sepusingan itu.

Skuad Speedy Tigress, yang menduduki ranking ke-18 dunia, seterusnya akan beraksi menentang pasukan di kedudukan tercorot, Thailand, pada aksi terakhir liga sepusingan Khamis ini.

Keputusan hari ini menyaksikan Malaysia, yang masih belum mencatatkan kemenangan selepas empat aksi setakat ini, gagal menempatkan diri sebagai empat pasukan teratas daripada enam pasukan yang bertanding untuk memburu slot ke separuh akhir malah bakal beraksi di penentuan tempat kelima-keenam, juga menentang Thailand pada Sabtu.
Artikel Berkaitan:


Pasukan negara berada di kedudukan kelima apabila hanya meraih satu mata selepas membuka kempen dengan kekalahan 0-3 kepada Jepun pada Jumaat sebelum dibelasah 0-5 oleh tuan rumah India pada Sabtu dan terikat 1-1 menentang Korea Selatan semalam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!