Isu Palestin: Umat Islam perlu kembali kepada ALLAH SWT
JOHOR BAHRU – Konflik Palestin-Israel yang berlarutan sejak puluhan tahun sehingga kepada serangan rejim Zionis Israel di Palestin ketika ini, sebenarnya memberikan pengajaran dan mengajak manusia untuk kembali kepada ALLAH SWT.
Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadut berkata, kesemua pengajaran dan peringatan berkenaan secara keseluruhannya akan dapat membantu membina kekuatan, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga dari segi mental.
“Peristiwa di Palestin ketika ini sebenarnya mengandungi banyak pengajaran dan peringatan kepada umat Islam di seluruh dunia dan paling ketara adalah umat Islam perlu kembali kepada al-din Islam yang berasaskan kepada al-Quran daripada sunah an-Nabawi.
“Selain itu amat penting jangan putus hubungan dengan ALLAH SWT dengan selalu berserah kepada-Nya kerana hanya Dia Yang Maha Berkuasa atas segala-galanya.
“Pengajaran lain yang dapat dilihat pada konflik Palestin-Israel adalah umat Islam khususnya perlu bersatu padu, berjemaah, bermuafakat kerana ia membawa berkat dan jangan berpecah-belah, bersengketa, berseteru kerana ia akan membawa kepada ‘hilangnya’ kekuatan yang ada,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Nooh, antara pengajaran lain yang dapat dilihat daripada peristiwa yang berlaku di Palestin ketika ini adalah umat Islam perlu membina semula kekuatan untuk kembali bangkit.
Katanya, kekuatan dari segi fizikal, rohani, kemahiran, ekonomi termasuk dari segi aspek sains dan teknologi moden.
“Kesemua ini perlu dilakukan sehinggalah umat Islam ada ‘taring’, ‘kuku’ hingga dihormati kawan dan ditakuti musuh.
“Secara tak langsung ia memberikan pengajaran bahawa umat Islam perlu saling bantu membantu terutamanya dalam isu kemanusiaan tanpa mengira bangsa, warna kulit dan lain-lain,” katanya.
Sementara itu Nooh berkata, daripada peristiwa di Palestin, umat Islam juga mendapat pengajaran berguna iaitu dapat mengenali siapakah rakan dan musuh yang sebenar.
Oleh itu katanya, umat Islam juga akan dapat merangka pelan strategik untuk bangun semula selepas ini kerana orang yang berjaya kadang-kadang bermula daripada kejatuhan dan bangun semula dengan idea-idea baharu, pemikiran baharu sehingga dia boleh ‘berjalan’ semula.
“Umat Islam juga mesti ada kasih sayang, tidak menzalimi sesiapa selain melakukan sesuatu dengan ikhlas, jujur, berintegriti, amanah dan telus,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!