'Bas lambat, naik teksi mahal'
TEKSI dan bas antara pengangkutan awal dalam negara yang menjadi pilihan pengguna sebelum kemunculan sistem transit aliran ringan dan perkhidmatan e-hailing diperkenalkan.
Bagaimanapun kemudahan itu semakin suram apabila terdapat alternatif pengangkutan awam lain, di samping ramai pengguna kini memilih menggunakan kenderaan sendiri selain ditambah pula dengan isu ulat teksi yang berleluasa.
Menerusi Apa Khabar Rakyat minggu ini, wartawan Sinar Harian, Norafiza Jaafar mendengar luahan pengguna perkhidmatan bas yang terpaksa menunggu lama dan rintihan pemandu teksi yang berdepan masalah untuk mendapatkan pelanggan di sekitar Stesen Bas Rawang, Selangor.
HAMPIR dua jam menunggu bas namun kelibat pengangkutan awam itu untuk membawa seorang warga emas pulang dari Pekan Rawang ke Bukit Sentosa, Hulu Selangor tidak kunjung tiba.
Namun Saadiah Mohd Sharip, 60, yang tetap sabar menanti sebelum disapa seorang pemandu teksi yang menawarkan untuk ke destinasi dituju.
Bagaimanapun pelawaan itu ditolak secara baik oleh Saadiah apabila memikirkan kos yang terpaksa ditanggungnya.
Suri rumah itu berkata, dia rela menunggu bas yang tambang berharga RM1.50 berbanding menaiki teksi yang kosnya mencecah RM25 hingga RM30.
Mengakui sukar untuk mendapatkan perkhidmatan bas sejak kebelakangan ini, terutama selepas Covid-19 melanda, namun dia tidak punya pilihan.
“Saya memang selalu naik bas jika ada urusan di Rawang tapi sekarang memang kena tunggu lama sebab ada satu bas sahaja untuk Bukit Sentosa-Rawang.
“Masalah sukar dapat bas ini menyebabkan saya hanya keluar jika betul-betul ada urusan penting.
“Masa akan habis tunggu bas daripada selesaikan urusan yang perlu,” katanya ketika ditemui di Stesen Bas Rawang yang kini suram dan tidak semeriah dahulu.
Saadiah berkata, Stesen Bas Rawang kini lengang daripada pengunjung rakyat tempatan susulan kebanjiran warga asing yang menyebabkan mereka berasa kurang selesa.
Selain itu katanya, perkhidmatan bas yang dikendalikan oleh satu syarikat sahaja menyebabkan pengguna tidak sanggup menunggu lama dan memilih alternatif lain.
“Kalau boleh pengguna diberi dua pilihan supaya tak bergantung kepada satu syarikat bas sahaja.
“Walaupun sudah ramai yang tak naik bas namun ia masih satu keperluan terutamanya bagi mereka yang tiada kenderaan seperti saya. Memang saya naik bas sejak dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, P Sugunes, 64, pula berkata, ketiadaan bas yang memasuki taman perumahan seperti Bandar Country Homes menyebabkan dia terpaksa menempah e-hailing atau teksi.
“Kalau naik teksi dari Bandar Country Homes ke Pekan Rawang sudah RM10. Kemudian perlu tunggu bas sejam untuk ke Selayang pula. Kadang-kadang tunggu bas dari jam 11.45 pagi dan 1.15 petang baru bas muncul.
“Itu sebab orang tak mahu naik bas kerana perlu tunggu lama. Saya hanya naik bas jika tiada kenderaan. Biasa adik yang akan hantar ke Selayang, tapi hari ini dia tak dapat hantar saya, jadi saya naik bas,” kata wanita itu.
Menurutnya, kekurangan bas adakala memaksanya menggunakan perkhidmatan teksi sapu yang lebih murah.
“Saya tahu bahaya (naik teksi sapu) sebab tidak dilindungi insurans tetapi walau bahaya ada kala guna juga sebab susah untuk dapatkan bas dan teksi pula mahal.
“Saya harap dapat dipertimbangkan supaya syarikat bas masuk ke kawasan taman perumahan kerana masih terdapat pengguna yang menggunakan bas sebagai pengangkutan untuk bergerak,” katanya.
Pemandu teksi desak pihak berkuasa tegas banteras ulat
Sementara itu pemandu teksi, Mohd Ashraf Laldin, 51 berkata, kekurangan penumpang ditambah pula persaingan dengan e-hailing dan ulat teksi menyebabkan pendapatan pemandu teksi di Rawang berkurangan.
“Apabila kekerapan bas kurang, dapatlah rezeki kepada pemandu teksi terutama penumpang yang ingin cepat sampai ke destinasi memandangkan tempoh menunggu bas lama.
“Namun, jumlah penumpang di sini memang tak ramai, ada masa pada waktu puncak pun tak ramai kerana kebanyakan mereka akan diambil ahli keluarga untuk jimatkan kos,” katanya.
Menurutnya, menambah kekerapan bas tidak akan menyelesaikan masalah kerana jumlah penumpang yang tidak ramai.
“Masalah ekonomi menjadi punca orang malas untuk keluar dan mereka hanya keluar apabila ada urusan penting sahaja. Kalau datang pada Sabtu dan Ahad pun tak ramai yang keluar ke Pekan Rawang.
“Kekerapan bas sejam sekali pun bas tak penuh, jadi kalau tambah kekerapan akan menyebabkan syarikat bas menanggung kerugian pula,” katanya.
Seorang lagi pemandu teksi, Salpudin Mat Noor, 58, berharap, kegiatan ulat teksi dibanteras sepenuhnya kerana menutup rezeki pemandu teksi dan membahayakan pengguna jika berlaku kemalangan.
“Perkara ini telah dibuat aduan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) namun prosesnya leceh kerana perlu dilampirkan bukti aktiviti tersebut menyebabkan masalah itu berlanjutan hingga kini.
“Ulat teksi ini juga kini didalangi warga asing yang mempunyai kenderaan dan mengambil penumpang dalam kalangan warga mereka,” katanya.
Ujarnya, dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan pendapatan yang merudum, dia berharap penguatkuasaan lebih tegas dilakukan terhadap aktiviti ulat teksi khususnya di Rawang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!