Putrajaya Dynamites intai pentas final NSL 2023

Aksi Dynamites (jersi hijau) ketika menentang Wildcats dalam saingan liga NSL 2023 pertengahan bulan ini. - Foto Facebook NSL
Aksi Dynamites (jersi hijau) ketika menentang Wildcats dalam saingan liga NSL 2023 pertengahan bulan ini. - Foto Facebook NSL
A
A
A

PUTRAJAYA Dynamites memasang impian besar untuk berada di pentas final menjelang aksi separuh akhir Liga Super Bola Jaring (NSL) 2023 menentang KL Wildcats di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Sabtu.

Pendatang baharu itu juga bertekad untuk menebus kekalahan ke atas finalis edisi lalu tersebut setelah tewas tipis 53-54 pada pertemuan 14 Oktober lalu.

Pengurusnya Nurul Izatulakmar Ishak berkata, Dynamites enggan memikirkan status Wildcats dan optimis skuadnya mampu melakar kejutan menerusi kemantapan barisan pemain yang berpengalaman.

"Tidak gentar dengan status lawan. Kami hanya mahu fokus kepada permainan dan buat yang terbaik untuk menang perlawanan tersebut.

"Kami mahu ke final. Doakan kami,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Dynamites yang dibimbing Puah Pei San menamatkan saingan liga sepusingan NSL 2023 di kedudukan ketiga setelah mengutip 15 mata daripada tujuh perlawanan.

No Image Caption

Mereka dipisahkan tiga mata dengan Wildcats yang menghuni tangga kedua di belakang juara bertahan, Johor Jewels yang melakar rekod bersih menang kesemua tujuh aksi untuk mengumpul 21 mata.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh persediaan Dynamites menjelang final itu Nurul berkata, persiapan rapi giat dijalankan oleh jurulatih bagi memastikan para pemain benar-benar bersedia untuk mengharungi perlawanan penting tersebut.

“Perbaiki kelemahan yang ada dan semua pemain dalam keadaan siap siaga. Apa pun strategi jadi rahsia pasukan. Apa yang pasti ia strategi ampuh untuk memburu kemenangan.

“Alhamdulillah semua pemain dalam keadaan baik, cergas fizikal serta mental dan bersedia untuk diturunkan hujung minggu ini,” katanya.

Dynamites menagih kudrat goal shooter (GS), Putri Intan Balqis Ahmad Dzulkefli dan goal attack (GA), Nordiyanah Noorsabadinee untuk merobek jaring lawan.

“Selain dua pemain ini, Dynamites juga boleh menyandarkan harapan kepada Siti Maisarah Affandi, L. Karishma dan Siti Nor Daniea Anisya Iqma Syamsul Rakesh untuk memburu gol,” katanya.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir juara bertahan, Johor Jewels bakal menentang Perak Phoenix.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!