'Kalau nak panjang umur, jangan aniaya orang'

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SEBAGAI manusia biasa, kita tidak akan sentiasa sihat. Seperti Merak Jalanan baru-baru ini terpaksa menyerah diri ke hospital kerana demam.

Ketika sedang menunggu giliran untuk bertemu doktor, ada seorang lelaki warga emas menyapa Merak Jalanan. Bermula dari situ, kami berbual mesra walaupun kepala Merak Jalanan sakit.

Satu persatu soalan ditanya kepada Merak Jalanan, namun nada suara lembut dan sopan warga emas itu menyebabkan Merak Jalanan lupa seketika sakit yang dihidapi.

Rupa-rupanya warga emas itu datang ke hospital bukan kerana sakit tetapi menghantar cucunya yang cedera di kaki akibat terjatuh.

Dalam perbualan kami, Merak Jalanan terkejut apabila diberitahu warga emas yang disangka berumur sekitar 60 tahun itu rupanya sudah mencecah usia 80 tahun.

Di usia sebegitu, tubuhnya masih segak, kedutan wajah tidak keterlaluan, berjalan tidak menggunakan tongkat, pertuturan jelas, tidak memakai cermin mata, malah gigi masih tidak rongak.

“Sebagai manusia, saya bukan tak pernah sakit. Demam, selesema, batuk dan pernah sekali dijangkiti Covid-19. Tapi alhamdulillah, penyakit lain memang tiada lagi,” kata bekas pegawai tinggi diplomatik itu.

Merak Jalanan tanya kepada warga emas itu, rahsia dia masih bertenaga dan sangat berkeyakinan ketika berkomunikasi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, di usia sebegitu dia tidak makan ayam, daging, makanan berproses dan minuman bergula. Hanya ikan, sayur-sayuran, ulam-ulaman, buah, air putih dan sesekali bersenam.

“Bagaimanapun, saya percaya kepada doa orang sekeliling, selalu berzikir dan menjaga waktu solat. Paling utama, jangan ada sifat dengki dan menganiaya orang lain,” tuturnya.

Merak Jalanan tabik dengan warga emas ini. Betullah apa orang cakap, kalau baik amalan seseorang itu, insya-ALLAH kesihatan juga akan ikut serta.

Mungkin ini satu tip yang boleh kita amalkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!