Ibarat tiket sehala, misi ke Gaza penuh ranjau
PERTEMPURAN di Gaza yang menyaksikan ribuan rakyat Palestin termasuk wanita, bayi dan kanak-kanak menimbulkan rasa geram membuak-buak dalam kalangan sesetengah sukarelawan sehingga tidak sabar untuk bersama-sama para syuhada di bumi Palestin itu.
Seperti yang diungkapkan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid baru-baru ini bahawa beliau sendiri akan berangkat ke Palestin untuk membantu rakyat Palestin jika keadaan mengizinkan.
Melihat kehancuran yang berlaku dengan kediaman dibom, premis musnah, hospital dan sekolah juga menjadi sasaran, gugurnya syahid termasuk insan tidak berdosa seperti wanita dan kanak-kanak, merobek-robek jiwanya untuk segera ke sana.
Malah, beliau yang sudah tujuh kali menjejakkan kaki ke Palestin juga memberitahu, ada beberapa lagi individu menyatakan keinginan untuk turut serta termasuk petugas media.
“Ada beberapa media meluahkan hasrat mahu menyertai misi kemanusiaan ke Palestin,” katanya.
Bagaimanapun, buat masa ini, suasana tegang menyukarkan pergerakan, bahkan tugas membawa media bagi melaporkan situasi semasa dari lokasi pertempuran juga bukanlah sesuatu yang mudah.
Jelasnya, pengalaman pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepertinya perlu melalui cabaran penuh getir dan pergerakan perlu dilakukan secara sembunyi-sembunyi.
“Nak melintas kawasan bahaya perlu berlari dan sembunyi menyelamatkan diri dari satu tempat ke satu tempat lain.
"Zionis tidak kira anda menyertai misi kemanusiaan atau paramedik. Jika berada di sebelah sini (Palestin), mereka anggap semuanya musuh.
“Media turut dijadikan sasaran peluru sehingga ada yang dilaporkan terkorban. Keadaan di sana orang panggil ‘neraka dunia’, ertinya tidak ada satu inci pun kawasan di Gaza selamat.
“Saya boleh katakan kalau nak pergi ke sana, ibarat menempah ‘tiket sehala’ sahaja,” katanya dalam nada rendah namun penuh makna tersirat.
Kata beliau, serangan bertubi-tubi rejim Zionis ke atas Gaza belum menampakkan tanda-tanda akan berakhir, malah pembunuhan beramai-ramai dilihat semakin giat dilancar.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, lebih 6,000 rakyat Palestin maut dalam konflik Israel-Palestin termasuk kanak-kanak.
Bahkan, masih terdapat ribuan penduduk Gaza dipercayai terperangkap bawah runtuhan struktur yang musnah dibedil rejim Zionis.
Berdasarkan laporan Agensi, pekerja kesihatan dan staf Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian Palestin (UNRWA) turut dilaporkan terbunuh.
Malah, ada wartawan yang terkorban ketika membuat liputan konflik Israel-Palestin.
Jawatankuasa untuk Melindungi Wartawan (CPJ) juga dilaporkan sedang menyiasat sejumlah laporan tidak disahkan berhubung wartawan dibunuh, ditahan atau dicederakan dan insiden ke atas pejabat media serta kediaman wartawan.
Sebagai warga media, penulis tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan rakan seangkatan yang melaksanakan tugas penting di bumi Gaza yang sudah semestinya berdepan antara hidup dan mati.
Ia sama maksudnya dengan penjelasan Mohd Azmi berhubung tiket sehala ke Gaza bagi yang ingin turut serta ‘berjuang’ ke negara tersebut.
Maksudnya, jika sudah membuat keputusan mahu ke sana, perlu bersedia dari segi mental dan fizikal, malah ahli keluarga juga perlu diterangkan kesan dan akibatnya.
Bagaimanapun, penulis percaya rakyat Malaysia antara individu yang mempunyai rasa simpati, belas ihsan dan ambil peduli yang tinggi, yakin semua cabaran itu harus dipikul dengan penuh iman dan takwa.
Amanah dan tanggungjawab perlu digalas sebaiknya, bantuan perlu disalurkan segera, nasib rakyat Palestin perlu dibela dan keamanan serta kedamaian itu hak paling utama.
Mati itu pasti namun bagaimana cara kematian itu hanya ALLAH SWT yang Maha Mengetahui, selagi bernyawa, setiap insan perlu teruskan perjuangan dalam kehidupan.
*Siti Zubaidah Zakaraya ialah Wartawan Sinar Harian Biro Kedah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!