China didakwa hapus nama Israel dalam peta digital

Nama Israel tidak tertera pada peta digital Baidu. - Foto Agensi
Nama Israel tidak tertera pada peta digital Baidu. - Foto Agensi
A
A
A

BEIJING - Dua syarikat gergasi teknologi China telah menghapuskan nama Israel dalam peta digitalnya selepas pengguna menyedari tiada nama negara haram itu di enjin pencarian Baidu dan Alibaba.

Di peta digital Baidu hanya terdapat garis-garis sempadan dan kota utama yang diakui di peringkat antarabangsa.

Perkara sama ditemukan di peta dalam talian Alibaba, Amap apabila aplikasi itu tidak memaparkan nama Israel pada wilayah Palestin yang diduduki.

Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar, Wang Wenbin menafikan spekulasi Beijing mengubah pendiriannya terhadap kewujudan Israel.

"Seperti yang anda tahu, China dan Israel mempunyai hubungan diplomatik.

"Nama Israel masih terdapat pada peta standard digital pihak berkuasa China," ujarnya.

China sebelum ini tegas menentang tindakan Israel membedil Genting Gaza.

Menteri Luar, Wang Yi menegaskan bahawa tindakan rejim Zionis sudah melampui batas dan tidak boleh dianggap sebagai tindakan mempertahankan diri.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut meminta Tel Aviv supaya menghentikan hukumkan kolektif terhadap penduduk Palestin di Gaza.

Israel membedil Gaza tanpa henti sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.

Tindakan Israel mendapat kecaman sebahagian besar anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana menyasarkan orang awam, hospital dan sekolah.

Malah, rayuan antarabangsa bagi gencatan senjata segera tidak dipedulikan Israel yang memilih untuk terus membedil Gaza tanpa mempedulikan nyawa orang awam.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini berkata, Hamas perlu diberikan tekanan demi tekanan dalam usaha menghapuskan kumpulan tersebut.

Setakat ini, angka kematian orang awam di Gaza melebihi 8,000 orang dengan sebahagian besar mangsa adalah wanita dan kanak-kanak. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!