Difitnah di Facebook: Kemas Kemaman buat laporan polis
KEMAMAN - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kemaman membuat laporan polis terhadap pemilik sebuah akaun Facebook berhubung status berunsur fitnah di laman sosial itu.
Pegawainya, Alias Mamat berkata, beliau menyedari tuduhan tidak berasas itu sejak 16 Disember lalu selepas dimaklumkan oleh kakitangannya pada jam 9 pagi semalam.
Katanya, selepas menyemak akaun Facebook yang dimaksudkan itu beliau mendapati terdapat beberapa artikel yang memfitnah Kemas terutamanya di Kemaman.
"Saya dapati ada status yang ditulis memfitnah dan berniat mahu mencemarkan nama Kemas.
"Penulis yang tidak dikenali identitinya turut memuat naik status bermotifkan provokasi," katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan berkenaan Balai Polis Chukai di sini.
Facebook berkenaan memuat naik status menyatakan kakitangan Kemas bukan sahaja terlibat rasuah malah pendidikannya merosakkan akhlak kanak-kanak.
Pengguna Facebook itu turut menyarankan Tadika Kemas ditutup dan menggantikannya dengan tadika lain.
Menurut Alias, tujuan laporan polis dibuat adalah untuk membersihkan nama dan imej Kemas terutama Kemas Kemaman yang difitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Pihak kami memohon tindakan sewajarnya diambil oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti pemilik akaun berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!