Pengalaman, ketenangan pisahkan SMK Jalan Kebun, SMK Meru

Barisan pemain, jurulatih dan pengurusan SMK Jalan Kebun selepas perlawanan separuh akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari 2023 menentang SMK Meru pada Selasa.
Barisan pemain, jurulatih dan pengurusan SMK Jalan Kebun selepas perlawanan separuh akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari 2023 menentang SMK Meru pada Selasa.
A
A
A

PENGALAMAN menyerap tekanan dan ketenangan memanfaatkan peluang semasa penentuan sepakan penalti menjadi pemisah buat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, Klang menentang SMK Meru, Klang.

Itu kesimpulan pengurus pasukan bola sepak SMK Jalan Kebun, Jafri Chin selepas kemaraan skuad bimbingan Mohd Ismadi Samsudin ke perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari 2023 tersekat di padang bola sepak sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 28, Shah Alam.

Anak buah Mohd Ismadi tunduk 2-4 kepada SMK Meru menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 70 minit permainan saingan kategori bawah 18 tahun tersebut.

Jelas Jafri lagi, kekurangan dua elemen itu menyaksikan pasukan SMK Jalan Kebun akur saingan kejuaraan yang mendapat tajaan daripada Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) terhenti di separuh akhir.

"Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan komitmen diberikan para pemain SMK Jalan Kebun dalam perlawanan berintensiti tinggi ini apabila berusaha menyaingi pasukan SMK Meru yang memiliki kelebihan semasa penentuan sepakan penalti.

"Separuh masa pertama pasukan SMK Jalan Kebun mencipta dan memiliki beberapa peluang untuk menjaringkan gol, namun dinafikan ketumpulan penyudah.

"Separuh masa kedua pasukan SMK Jalan Kebun kembali lebih garang selain barisan pertahanan cemerlang menutup peluang para pemain SMK Meru untuk mencipta jaringan yang menyaksikan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti," katanya pada Sukan Sinar.

Keputusan itu menyaksikan anak buah Mohd Ismadi bakal membuat perhitungan menentang SMK Seksyen 11, Shah Alam, bagi perlawanan penentuan tempat ketiga keempat di padang sintetik MBSA, Seksyen 19, Shah Alam pada 6 November.

Artikel Berkaitan:

SMK Seksyen 11 sebelum itu tewas 0-2 kepada pemenang Piala Sumbangsih, SMK Dato' Harun, Tanjung Karang dalam satu lagi perlawanan separuh akhir di padang sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 28, Shah Alam.