KPM cadang tambah guru kaunseling jika kes buli sekolah meningkat
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang untuk menambah bilangan guru bimbingan dan kaunseling sekiranya gejala buli di sekolah di bawah seliaan kementerian itu meningkat, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, bimbingan dan kaunseling adalah antara tindakan segera yang boleh diambil dalam menangani gejala sosial itu di sekolah.
"Mereka (pembuli) mesti diberi penyedaran dan bimbingan yang sepatutnya untuk tahu mengapa mereka (tidak sepatutnya) melakukan perbuatan buli.
"Jadi, kaunseling ini adalah amat mustahak,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) pada sesi soal jawab.
Sementara itu, Hui Ying berkata, berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) KPM, gejala buli di sekolah menunjukkan peningkatan dengan 4,994 kes direkodkan setakat Oktober 2023 berbanding 3,887 kes pada tahun lepas.
Beliau berkata, kesemua kes itu telah disiasat dan tindakan susulan telah diambil dengan tumpuan memberi bimbingan dan kaunseling kepada mereka yang terlibat.
"Tujuan kami memang adalah untuk memastikan kes buli dapat dikurangkan, terutamanya memberi bimbingan yang sewajarnya kepada pembuli dan mangsa buli,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang ingin tahu bilangan kes buli di sekolah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!