Tiada subsidi, peniaga tidak boleh naikkan harga ayam sesuka hati
KUALA TERENGGANU - Meskipun harga ayam kini ditentukan oleh pasaran susulan penamatan kawalan harga dan subsidi, namun ia tidak bermakna peniaga boleh menaikkan harga bahan basah itu sewenang-wenangnya.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya akan menggiatkan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 bagi memastikan barangan keperluan pengguna itu dijual pada harga munasabah di pasaran.
Menurutnya, seramai 117 pegawai penguatkuasa dan 58 pegawai pemantau harga menjalankan pemantauan di pasar raya dan pasar basah di seluruh negeri bagi memastikan tiada aktiviti manipulasi dan pengambilan untung secara berlebihan.
"KPDN Terengganu ingin memberi peringatan kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan atas situasi ini dengan menjadikannya alasan menaikkan harga.
"Tindakan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 boleh dikenakan dan jika sabit kesalahan, syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 sementara individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, " katanya kepada pemberita selepas meninjau harga ayam di sebuah pasar raya, di sini pada Rabu.
Shaharuddin berkata, kerjasama daripada pengguna dalam menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan amat diperlukan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengguna dinasihatkan menggunakan aplikasi Price Catcher untuk menyemak lokasi yang menawarkan harga ayam berpatutan dan terendah di tempat masing-masing.
"Semua pengguna perlu menjadi pengguna yang bijak dengan membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum berbelanja.
"Pengguna boleh merujuk kepada aplikasi Price Catcher yang disediakan pihak KPDN untuk membuat perbandingan harga mengikut lokasi pilihan atau tempat tinggal masing-masing bagi mendapatkan barangan pada harga berpatutan. Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store secara percuma, "katanya.
Di samping itu, katanya, KPDN Terengganu turut meluaskan akses bekalan ayam melalui Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negeri bagi memberikan pilihan dan jaminan kepada pengguna untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga berpatutan.
"Tahun ini sebanyak 217 siri jualan Rahmah telah dilaksanakan di seluruh negeri dan akan diteruskan dari semasa ke semasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!