Kerajaan ulangi pendirian tidak tambat ringgit - Steven Sim

Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan tambatan ringgit dan kawalan pertukaran mata wang asing seperti dilakukan ketika negara menghadapi Krisis Kewangan Asia pada 1998 lalu. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Steven)
Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan tambatan ringgit dan kawalan pertukaran mata wang asing seperti dilakukan ketika negara menghadapi Krisis Kewangan Asia pada 1998 lalu. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Steven)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan tambatan ringgit dan kawalan pertukaran mata wang asing seperti dilakukan ketika negara menghadapi Krisis Kewangan Asia pada 1998 lalu kerana ia bukan penyelesaian tepat bagi cabaran yang dihadapi pada masa ini.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira tiga pertimbangan utama.

Ujarnya, faktor pertama ialah ekonomi dan sistem kewangan negara berada pada kedudukan lebih baik masa kini untuk menghadapi turun naik pasaran kewangan global dan pergerakan kadar pertukaran.

“Keduanya, Malaysia akan hilang kebebasan dasar monetari dan perlu mengikut kadar faedah mata wang yang menambat ringgit.

“Contohnya, jika ringgit ditambat dengan dolar Amerika Syarikat (AS), kita perlu menaikkan kadar faedah selari dengan kadar faedah di negara kuasa besar itu. Tindakan ini akan memberi tekanan kepada kos pembiayaan yang lebih tinggi kepada rakyat.

“Ketiga, bagi mengekalkan tambatan, kita akan memerlukan rizab antarabangsa yang besar. Jika tidak, kita terpaksa memperkenalkan kembali langkah kawalan modal untuk mencegah dan mengatasi tekanan spekulatif terhadap ringgit,” katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) sama ada kerajaan melalui Bank negara Malaysia (BNM) bercadang untuk menambat nilai ringgit pada satu-satu nilai seperti dilakukan pada 1999.

Steven menambah, sekiranya langkah tambatan ringgit diperkenalkan ketika ini ia akan memberi kesan negatif terhadap keyakinan pelabur dan boleh menjejaskan aliran modal kerana Malaysia mempunyai pasaran modal yang jauh lebih besar berbanding 1998.

Artikel Berkaitan:

Justeru, katanya, BNM akan memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur sejajar dengan tanggungjawabnya terhadap kestabilan pasaran kewangan dan mata wang.

“Bank pusat akan memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur. Bagi menangani risiko daripada pergerakan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS.

“Kerajaan melalui BNM akan terus mengurus risiko daripada perkembangan domestik dan luaran serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!