Jual topi keledar guna pelekat SIRIM tiruan
TEMERLOH - Jual topi keledar yang menggunakan pelekat keselamatan SIRIM tiruan yang diperolehi dengan harga murah tapi dijual dengan harga yang tinggi di pasaran.
Kelicikan seorang pemilik premis topi keledar dan alat ganti di bandar ini berjaya dihidu hasil operasi yang dijalankan oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang bersama pihak SIRIM pada Selasa.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata, seorang lelaki berusia 63 tahun ditahan bagi siasatan lanjut.
Menurutnya, pihak SIRIM telah memeriksa kesemua topi keledar yang dijual dan mendapati premis tersebut ada menjual topi keledar yang menggunakan pelekat keselamatan SIRIM tiruan.
"Berdasarkan maklumat awal pengadu, pihak premis telah memperolehi stok topi keledar tersebut dari Kuala Kangsar, Perak dengan harga yang murah dan kemudiannya menjual di bandar ini dengan harga yang tinggi.
"Topi keledar yang disyaki telah menggunakan pelekat keselamatan SIRIM tiruan juga telah dirampas dengan nilai rampasan kira-kira RM1,620," kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar Abdul Razak, kes akan disiasat di bawah Seksyen 16(1) Akta Perihal Dagangan 2011.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru kepada semua pengguna untuk mendapatkan barangan yang berkualiti lebih-lebih lagi bagi barangan yang melibatkan keselamatan diri sendiri dalam penggunaan seharian.
"Dan sekiranya pengguna mengesyaki adanya unsur-unsur penipuan yang dilakukan oleh peniaga yang tidak beretika, pengguna boleh membuat aduan melalui e-aduan@kpdn.gov.my, talian bebas tol 1-800-886-800 atau menghubungi pejabat KPDN terdekat.
"KPDN Cawangan Temerloh memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan," tambah beliau.
Jelas beliau, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan tersebut bakal berdepan dengan tindakan dan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan bagi syarikat pula denda sehingga RM25,000 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!