[VIDEO] Kad diskaun khas untuk peniaga Menu Rahmah diperkenal esok - Armizan
KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan kad diskaun khas untuk peniaga Menu Rahmah esok.
Pemangku Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan itu dibuat bagi membolehkan peniaga membeli bahan mentah dengan potongan harga.
Jelasnya, potongan harga itu melibatkan enam pasar raya yang menjalin kerjasama dengan kementerian tersebut.
“Esok saya akan turun bersama Timbalan Menteri (KPDN) bagi satu inisiatif terbaharu iaitu penawaran kad diskaun rahmah kepada pengusaha kafe dan restoran terlibat.
“Ia sebagai insentif kepada mereka yang menyokong usaha kerajaan selama ini,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 mewakili KPDN.
Inisiatif Menu Rahmah dilancarkan bekas Menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 31 Januari tahun ini bagi membantu mengurangkan beban hidup rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan.
Menerusi program itu, restoran atau kafe yang mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut menjual sajian atau menu dengan tawaran harga RM5.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!