TRM bantuan kecemasan untuk asnaf
KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melancarkan Tabung Rahmah Madani (TRM) untuk kegunaan bantuan kecemasan kepada golongan asnaf memerlukan.
Jawi dalam satu kenyataan berkata, TRM akan beroperasi di 40 masjid Wilayah Persekutuan dan mendapat kerjasama daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Menurutnya, dana RM2.06 juta disumbangkan MAIWP bagi menjayakan TRM yang akan disalurkan kepada masjid terlibat meliputi enam zon.
"Keutamaan bantuan diberikan kepada penduduk Wilayah Persekutuan dan warganegara Malaysia.
"Bantuan disalurkan kepada pemohon yang terputus perbelanjaan sara hidup serta bagi kes-kes tertentu yang difikirkan sesuai untuk dipertimbangkan.
"Kekerapan bagi seseorang menerima bantuan kecemasan pula dipertimbangkan dua kali sahaja dalam tempoh setahun dengan kadar maksimum RM200 bagi setiap permohonan sebagaimana dinyatakan dalam prosedur operasi standard (SOP) TRM," kata kenyataan itu pada Rabu.
Majlis Pelancaran TRM disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar; Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya.
Menurut kenyataan itu, TRM juga diperluaskan bagi tujuan pembayaran elaun di bawah Program Khidmat Asnaf dengan memberikan peluang pekerjaan kepada dua asnaf di 40 masjid terpilih untuk menjalankan perkhidmatan sosial seperti pembersihan dan kerja-kerja kebajikan di masjid.
Tambah kenyataan itu, kadar elaun yang ditetapkan adalah berjumlah RM50 sehari bagi tempoh empat jam bekerja dan tidak melebihi 15 hari sebulan.
Kata kenyataan itu, inisiatif penubuhan TRM merupakan sebahagian usaha untuk mempergiatkan lagi bantuan kepada golongan yang memerlukan berpusat di masjid.
"Ia selaras dengan teras Kesejahteraan Insan yang terkandung di dalam agenda Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) dan Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2021-2024.
"Institusi masjid disarankan supaya menjadi tempat agihan dana dan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan sekali gus menarik masyarakat untuk mendekati institusi tersebut sebagaimana kejayaan program kebajikan sebelum ini seperti Gerobok Rezeki Masjid, Iftar Rahmah Ramadan, dan Jawi Food Bank," jelas kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!