KUSKOP timbang beri OKU sewa premis perniagaan di bangunan kerajaan

Ewon ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Ewon ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terbuka dengan cadangan untuk menyediakan peluang sewaan premis perniagaan di bangunan milikan kerajaan kepada usahawan orang kurang upaya (OKU).

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, cadangan tersebut akan diteliti melalui Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Wanita dan OKU di bawah kementeriannya.

Selepas itu katanya, perbincangan bersama wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan dilakukan.

“KUSKOP melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional telah melaksanakan program khusus kepada golongan OKU seperti Program Usahawan Berkebolehan dan Berkeyakinan (CARE) dan Skim Pembiayaan Orang Kurang Upaya.

“Golongan OKU juga boleh memohon bantuan melalui program-program keusahawanan lain di bawah KUSKOP dan kementerian-kementerian lain,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Tambah beliau, kementerian yang diterajuinya begitu fokus untuk membantu usahawan kategori itu bagi membantu meningkatkan taraf hidup.

Sementara itu, Ewon berkata, berdasarkan data rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdaftar di Malaysia pada tahun lalu menurun kepada 1.17 juta berbanding 1.23 juta pada 2021.

Katanya, jumlah itu merangkumi 97.4 peratus daripada jumlah perniagaan dalam negara.

Artikel Berkaitan:

“Penurunan sebanyak 52,893 PMKS pada tahun 2022 berbanding 2021 ini adalah didorong oleh pelbagai faktor seperti kesan pandemik Covid-19 terhadap perniagaan, peningkatan kadar inflasi, kenaikan harga barang dan kos operasi yang memberi kesan kepada kelangsungan perniagaan PMKS di negara ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!