Malaysia dapatkan kepakaran Belanda tambah baik tebatan banjir

Anwar menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte (kiri) di Seri Perdana pada Rabu. Foto: Bernama
Anwar menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte (kiri) di Seri Perdana pada Rabu. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia akan mendapatkan kepakaran dari Belanda bagi menambah baik sistem tebatan banjir dalam usaha mengatasi masalah banjir dalam negara yang berlaku saban tahun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada media selepas menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte di Seri Perdana di sini pada Rabu, Anwar berkata, bantuan kepakaran dari Belanda itu diyakini dapat mengurangkan kos perbelanjaan negara yang mencecah bilion ringgit setiap tahun bagi melaksanakan pengurusan bencana banjir.

Katanya, beliau telah menerangkan kepada Rutte mengenai kepentingan menambah baik pelbagai keperluan di sungai-sungai dalam negara, terutama semasa menghadapi musim banjir dewasa ini, antaranya di Johor, Selangor dan Pahang.

"Saya juga terangkan kepada beliau mengenai belanja, umpamanya mutakhir ini keseluruhan (kos pengurusan) masalah banjir mencecah RM15 bilion. Rutte beritahu dengan kepakaran dan tekonologi baru, mungkin tidak perlu kos tinggi,” katanya dan menambah Perdana Menteri Belanda itu turut memberi jaminan akan menyegerakan penghantaran pasukan kepakaran dalam bidang berkenaan.

Anwar berkata, beliau telah meminta Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk mengambil tindakan lanjut berhubung kerjasama itu termasuk menyegerakan proses ketibaan pasukan pakar berkenaan ke Malaysia.

Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia dan Belanda bersetuju memperkasakan industri semikonduktur serta bidang digital dan kecerdasan buatan (AI) melibatkan kedua-dua negara.

"Beliau (Rutte) setuju, Belanda adalah antara negara mempunyai dasar khusus semikonduktur. Kita (Malaysia) ada dasar menggalakkan penyertaan swasta,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Anwar berkata, Malaysia bersetuju melaksanakan usaha penggalian dan pemulihan kapal karam lama di perairan negara termasuk kapal-kapal milik Belanda mengikut syarat ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Pada 2022, Belanda adalah rakan dagangan ke-14 terbesar Malaysia dan kedua terbesar di Kesatuan Eropah (EU) dengan jumlah dagangan RM48.04 bilion (AS$10.93 bilion), meningkat 33.4 peratus berbanding RM36.01 bilion (AS$8.68 bilion) pada 2021.

Belanda juga merupakan pengimport terbesar minyak sawit Malaysia dalam kalangan negara EU dengan jumlah 732,324.54 tan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!