Barat 'cipta Israel' untuk teruskan penjajahan zalim - Abdul Hadi
SHAH ALAM - Negara penjajah Barat bertanggungjawab mencipta negara haram Israel bagi meneruskan penjajahan mereka yang zalim sejak beberapa abad yang lalu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, selain menjaga kepentingan mereka dengan menghalalkan segala cara, negara-negara yang terlibat itu memejamkan mata sahaja terhadap keganasan yang dilakukan oleh Israel di Gaza hingga melanggar undang-undang antarabangsa.
Menurutnya, perbuatan Zionis itu telah melampaui batas kemanusiaan apabila menyaksikan ramai kanak-kanak, orang tua dan kaum wanita menjadi mangsa korban.
“Bukan sahaja kawasan kediaman awam, bahkan serangan ganas turut disasarkan ke atas rumah ibadat, hospital, dan sekolah yang sudah dikira sebagai jenayah perang mengikut undang-undang antarabangsa.
“Negara besar dan sekutunya pada hari ini pernah mencipta sejarah hitam sewaktu mereka datang menjajah negara Asia, Afrika, Amerika, dan Australia.
“Mereka mengganas dan membunuh penduduk asal seperti membunuh binatang liar dengan lebih ganas, malah ada yang ditawan dan dijadikan hamba abdi yang dijual selain merompak segala hasil tanah jajahan mereka,” katanya menerusi Minda Presiden Pas pada Rabu.
Abdul Hadi berkata, tidak hairanlah kalau mereka boleh menyokong Israel yang sedang mengganas sekarang, bahkan memayunginya dengan bantuan senjata serta sokongan politik dan media yang tidak berbelah bahagi demi menghalalkannya.
“Mereka membuat kenyataan terbuka bahawa Israel berhak melakukan apa-apa sahaja kononnya kerana mempertahankan diri dan kedaulatannya yang haram. Sebaliknya, pihak yang melawan Israel pula semuanya dianggap sebagai pengganas.
“Ada pula negara Arab dan Islam yang tidak tersentuh perasaan mereka dengan kenyataan tersebut dan melakukan normalisasi dengan negara Israel.
“Sebaliknya, rakyat Palestin yang mempertahankan diri dan tanah asal mereka dikecewakan dan dipersalahkan pula,” ujarnya.
Jelasnya, apabila berlaku kebangkitan rakyat Palestin yang disokong oleh umat Islam, kita menyaksikan situasi tersebut telah membahayakan negara haram Israel itu.
“Usaha atas nama perdamaian dikendalikan oleh negara-negara besar untuk mempengaruhi negara Arab dan Islam yang dijadikan alat mereka bagi memberikan peluang kepada Israel menambah kekuatannya.
“Alasannya, Israel berhak mempertahankan dirinya. Ada pun rakyat Palestin tidak berhak berjuang mempertahankan hak mereka dari segi agama dan tanah air mereka, bahkan difitnah dengan jenama pengganas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!