Perak FC akui berdepan laluan sukar menentang JDT
BIARPUN tiada istilah mustahil dalam bola sepak, namun skuad Perak FC perlu berpijak di bumi nyata selain mengakui laluan penuh berliku perlu ditempuh ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor esok.
Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah berkata, pasukannya bukan hanya perlu memadamkan defisit tiga jaringan yang dimiliki JDT, malah skuad Harimau Selatan belum pernah tewas apabila beraksi di gelanggang sendiri khususnya dalam perlawanan liga di peringkat domestik.
"Saya akui perlawanan menentang JDT ini sememangnya sukar lebih-lebih lagi beraksi di SSI namun ia bukan bermakna kita akan mudah menyerah (kalah) sebelum perlawanan bermula.
"Saya juga ingin tegaskan untuk perlawanan ini, kita beraksi tanpa sebarang tekanan dan diharapkan setiap pemain yang bakal diturunkan dapat mempamerkan aksi terbaik sepanjang 90 minit permainan,” katanya kepada Bernama pada Rabu.
Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Perak pada 19 Oktober lepas, menyaksikan skuad The Bos Gaurus tumpas 1-4 kepada skuad bimbingan Esteban Solari itu.
Pada perlawanan itu, gol tunggal Perak dijaringkan Ketua Pasukan Luciano Guycochea pada minit ke-76, manakala empat gol JDT dijaringkan Oscar Arribas pada minit ke-7, Arif Aiman Hanapi (minit ke-12), Shahrul Saad (minit ke-71) serta Nazmi Faiz Mansor (minit ke-80).Yusri yang juga bekas tonggak kebangsaan, menjelaskan perlawanan esok juga akan dijadikan sebagai medan terbaik untuk mengekalkan prestasi pemain bagi mengharungi baki tiga perlawanan Liga Super musim ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap pemain sayap Wan Zack Haikal Wan Noor akan terus kekal bersama Perak FC meskipun ada ura-ura mengaitkan beberapa pasukan Liga Super berminat mendapatkan khidmat pemain berasal dari Pahang itu untuk musim depan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!