PRK Jepak medan tawan pengundi muda
BINTULU - Misi memenangi hati pengundi muda yang mewakili lebih 60 peratus daripada 22,804 jumlah pemilih berdaftar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak menjadi antara tumpuan utama parti-parti bertanding.
Memasuki minggu kedua kempen PRK itu, ketiga-tiga parti bertanding iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) telah menunjukkan komitmen mengangkat agenda memperkasakan golongan berkenaan.
Malah GPS lebih ke hadapan dalam isu itu apabila menggariskan penyertaan aktif golongan muda dalam pembangunan kawasan Jepak di dalam 14 teras utama manifestonya bagi PRK itu.
Usaha mereka dalam memahami setiap isu serta keperluan pengundi muda itu juga dilihat penting dalam menentukan arah pengundian golongan yang merupakan generasi masa depan Sarawak.
Buat Nuruliza Ramli, 20, yang akan pertama kali mengundi pada PRK itu, peluang untuk menyertai latihan yang dapat meningkatkan kemahiran merupakan antara perkara diperlukan golongan muda sekarang.
Beliau berkata, penyediaan latihan seperti kursus pengurusan serta pemasaran perniagaan dalam talian misalnya dapat memberi ilmu dalam menerokai ekonomi digital."Jika kita lihat sekarang ini semua benda berlaku di dalam talian dan pasaran di dalam ekonomi digital ini begitu luas dan peluang ini juga terbuka untuk sesiapa sahaja termasuk orang muda,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, Nuruliza yang merupakan pekerja sebuah kedai makan di Kampung Jepak di sini berkata kos sara hidup yang tinggi di kawasan Bintulu - antara hab minyak dan gas negara juga harus diberi tumpuan.
Sementara itu, Sakinah Jani, 31, pula berpendapat pembinaan kemudahan sukan untuk kegunaan orang muda di kawasan Jepak boleh menjadi antara agenda oleh calon yang bakal menang pada PRK itu nanti.
"Selain aspek fasiliti, peluang pekerjaan serta melanjutkan pendidikan ke tahap lebih tinggi juga sangat penting... kita juga tahu Kerajaan Sarawak mempunyai cadangan untuk memberi pendidikan tinggi secara percuma dan ini semestinya satu langkah baik untuk anak muda,” katanya.
Pada 1 Oktober lepas, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendidikan percuma peringkat universiti dan pusat pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak untuk anak jati negeri itu dijangka dapat dilaksanakan pada 2026.Beliau berkata, unjuran pendapatan tahunan Sarawak yang terus menunjukkan peningkatan sejak 2020 telah memberikan keyakinan kepada beliau untuk menetapkan jangkaan itu.
PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon GPS Iskandar Turkee, calon PBK Stevenson Joseph Sumbang dan calon Aspirasi Chieng Lea Phing.
PRK DUN Jepak pada 4 November ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.
DUN Jepak mempunyai 22,804 pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!