Gantung PAFA: Perak FC harap diselesaikan segera
PERAK FC mengharapkan isu penggantungan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dapat segera diselesaikan bagi membolehkan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi berjalan dengan jayanya.
Pengarah Pembangunan Belia Perak FC, Neow Choo Seong berkata, isu berkenaan sedikit sebanyak menjejaskan usaha pembangunan bola sepak dalam kalangan remaja dan belia yang sepatutnya dilakukan oleh PAFA.
Menurutnya, ketika ini Perak FC mengambil alih sementara peranan untuk mencungkil bakat-bakat baharu bola sepak di seluruh daerah di negeri ini menerusi beberapa program yang telah dan sedang dirangka.
"Dalam perjumpaan pihak pengurusan Perak FC dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh baru-baru ini, perkara tersebut sudah dibangkitkan. Kita rayu KBS (Kementerian Belia dan Sukan) untuk menyegerakan penyelesaian isu PAFA ini agar pembangunan bola sepak dapat kembali dilaksanakan.
"Untuk itu Perak FC tampil dengan beberapa program untuk mencari bakat-bakat muda di seluruh pelosok Perak bagi mengisi pasukan-pasukan pelapis belia untuk mempersiapkan mereka ke kejohanan yang disediakan," katanya kepada pemberita ketika Sesi Ramah Mesra Bersama Media di Pejabat Perak FC, di sini pada Rabu.
Menurutnya, program pembangunan akar umbi itu mesti dilaksanakan supaya negeri Perak tidak ketandusan bakat-bakat di dalam bola sepak namun ia tidak boleh bergantung harap kepada Perak FC semata-mata.
Choo Seong berkata, Perak FC tidak boleh selamanya membiayai program pembangunan bola sepak tanpa penglibatan pihak lain kerana ia memerlukan dana yang besar.
Bagaimanapun, beliau menghargai inisiatif yang dibuat oleh kerajaan negeri Perak melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) yang menyumbang RM500,000 bagi tujuan pembangunan bola sepak negeri.
Menurutnya, Perak FC bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak terutama dalam usaha membangunkan bakat-bakat muda di dalam bola sepak.
Katanya, perkongsian tenaga dan kepakaran yang ada sedia diberikan bagi memastikan bakat-bakat baharu dapat dicungkil.
"Begitu juga dengan Akademi Bola Sepak Perak yang menjadi impian semua peminat bola sepak di negeri ini. Pelaksanaannya boleh direalisasikan jika ada dana yang besar khusus untuk mewujudkan akademi tersebut.
"Jika dana itu sudah sedia, kita jangka dalam tempoh 2 hingga 3 tahun ia boleh dilaksanakan. Jadi kita sangat mengalu-alukan mana-mana pihak untuk menyuntik dana bagi merealisasikan impian ini," katanya.
Dalam pada itu, bekas pemain Perak FC itu berkata, antara usaha yang telah dilaksanakan bagi mencungkil bakat-bakat muda itu termasuklah penganjuran Piala Dato' Seri Azim Zabidi yang akan dijenamakan sebagai Piala Cheetah 2023.
Selain itu, Piala XOX juga turut diperkenalkan dengan kerjasama Perak FC dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak untuk kejohanan bawah 17 tahun selain Grassroots Playday Festival yang memberi tumpuan kepada murid berusia 7 hingga 12 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!