KPKM tinjau jualan ayam di tiga negeri, tiada peningkatan harga

KPKM melakukan pemantauan hari pertama pengapungan harga ayam di sekitar kawasan Selangor, Negeri Sembilan serta Putrajaya pada Rabu.
KPKM melakukan pemantauan hari pertama pengapungan harga ayam di sekitar kawasan Selangor, Negeri Sembilan serta Putrajaya pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengadakan tinjauan hari pertama pengapungan harga ayam di sekitar kawasan Selangor, Negeri Sembilan serta Putrajaya pada Rabu.

KPKM dalam satu kenyataan berkata, tinjauan itu bertujuan memantau ketersediaan bekalan ayam dan harga yang ditawarkan di pasaran semasa.

Menurut kenyataan itu, secara keseluruhan harga ayam adalah antara RM7.39 hingga RM9.40 sekilogram dan tiada peningkatan sepanjang rantaian bekalan yang dicatatkan.

“Ia berdasarkan pemantauan dilaksanakan dan pengguna mempunyai pelbagai pilihan daripada segi harga jualan serta jenis ayam mengikut lokasi atau tempat jualan.

“Aspek bekalan juga stabil dan mencukupi untuk keperluan pengguna, KPKM akan terus bekerjasama erat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memastikan kestabilan bekalan ayam di pasaran serta memantau sebarang aktiviti pencatutan yang dilaporkan,” kata kenyataan itu.

Sesi pemantauan itu diketuai Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali bersama Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri dan pegawai-pegawai terlibat.

Sebelum ini, KPKM memaklumkan kerajaan bersetuju agar subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan sepenuhnya bermula 1 November bagi mengurangkan ketirisan yang mana pada ketika ini turut dinikmati warga asing serta golongan berpendapatan tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu bagaimanapun menjelaskan, subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C akan diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, tinjauan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan mendapati harga ayam standard dijual pada harga RM9.40 sekilogram dengan caj perkhidmatan pemotongan sebanyak 50 sen.

“Manakala di Pasar Raya Econsave Kota Warisan Sepang, ayam standard dijual RM8.39 sekilogram, Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) Sungai Merab pula harga ayam super dijual pada harga RM9.20 sekilogram,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pemantauan di sekitar Nilai, Negeri Sembilan pula mendapati ayam standard berada pada kadar berpatutan, manakala di Pasar Awam Sementara Nilai harganya RM9.40 sekilogram.

“Di Pasar Raya Giant Superstore Nilai, harga ayam standard adalah RM7.89 sekilogram dan Lotus Nilai Putra dijual RM7.39 sekilogram.

“Putrajaya pula, harga ayam super di Pasar Raya Mydin dijual RM7.99 sekilogram manakala di Peladang Outlet PPK RM9.00 sekilogram,” kata kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!