Institusi Raja jaminan kestabilan negara

Institusi yang menjadi penaung kepada kerajaan ini mesti terus dihormati dan menjadi tempat untuk rakyat memberikan harapan apabila wujudnya krisis politik.
Institusi yang menjadi penaung kepada kerajaan ini mesti terus dihormati dan menjadi tempat untuk rakyat memberikan harapan apabila wujudnya krisis politik.
A
A
A

TANGGAL 31 Januari depan, Malaysia bakal menerima ketua negara baharu dengan pemilihan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun akan datang.

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari 2024.

Simbolik daripada pemilihan ini menonjolkan keunikan sistem beraja di Malaysia, yang merupakan satu-satunya negara di dunia mengamalkan sistem raja silih berganti bagi memilih Yang di-Pertuan Agong.

Giliran itu dibuat dalam kalangan sembilan Sultan atau Raja yang memerintah negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Seri Paduka menjalankan pemerintahan negara mengikut nasihat kabinet atau Perdana Menteri (Fasal 40) kecuali beberapa perkara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan sebagai kuasa budi bicara.

Di samping itu, baginda turut menjalankan kuasa seiring fungsi simbolik Yang di-Pertuan Agong seperti bertindak sebagai Ketua Angkatan Tentera (Fasal 41), Penyimpan Mohor Besar Persekutuan (Fasal 36), memanggil mesyuarat Dewan Rakyat (Fasal 55), ucapan di Parlimen (Fasal 60), perkenan rang undang-undang (Fasal 66) dan menerima menghadap duta asing serta mentauliah duta ke luar negara.

Menyingkap kembali pemerintahan Al-Sultan Abdullah yang ditabalkan secara rasmi pada 30 Julai 2019, pelbagai cabaran berliku terpaksa diharungi Seri Paduka, termasuk pandemik Covid-19 dan pergolakan politik negara yang tidak berkesudahan.

Malah, di bawah pemerintahan baginda menyaksikan pertukaran empat Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, semua kemelut yang berlaku berjaya diselesaikan dengan kebijaksanaan Agong berunding dengan pemimpin politik dan Raja-raja Melayu.

Al-Sultan Abdullah mengakui, walaupun menempuh pelbagai peristiwa dan badai gelora, Raja-raja Melayu sentiasa membantu mencari jalan penyelesaian terbaik demi kesejahteraan rakyat jelata.

Baginda bertitah, ia dilakukan demi menjunjung sumpah yang telah dilafazkan iaitu memerintah Malaysia dengan secara adil menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dengan sepenuh ketelusan hati.

Menerusi sokongan padu Raja-Raja Melayu sepanjang pemerintahan Seri Paduka, akhirnya membawa negara dan rakyat jelata dilindungi daripada terus terjerumus ke kancah yang tidak menentu.

Pelindung demokrasi

Pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, ada sesetengah negara yang mempunyai institusi Presiden sebagai penaung kabinet yang diketuai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, mereka berdepan dengan cabaran kerana pelantikan presiden itu sendiri kebiasaannya daripada kalangan mereka yang mempunyai latar belakang politik.

Berbeza di Malaysia, sistem beraja berteraskan konsep Raja Berperlembagaan dapat menjamin wujudnya kestabilan.

Justeru, institusi yang menjadi penaung kepada kerajaan ini mesti terus dihormati dan menjadi tempat untuk rakyat memberikan harapan apabila wujudnya krisis dalam kalangan ahli politik.

Hakikatnya, Yang di-Pertuan Agong bukanlah sekadar simbolik semata-mata, sebaliknya menjadi pelindung kepada amalan demokrasi, tiang seri kepada keamanan dan nadi kepada perpaduan negara.

Rakyat jelata tentunya terhutang budi dengan segala jasa dan pengorbanan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terhadap negara sepanjang lima tahun perkhidmatan yang diberikan.

Pastinya, rakyat juga sedang menantikan dengan gembira untuk bernaung di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Daulat Tuanku!

*Farah Shazwani Ali ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!