White House elak kritik tindakan Israel serang kem pelarian di Gaza
PEJABAT pentadbiran Amerika Syarikat (AS), White House berterusan mengelak daripada mengkritik tindakan tentera Israel di Gaza, termasuk serangan ke atas kem pelarian yang meragut berpuluh-puluh nyawa rakyat Palestin pada Selasa lalu.
White House menegaskan, AS tidak akan memberi sebarang maklum balas terhadap apa sahaja perkembangan terbaharu di wilayah peperangan antara Israel dan Hamas itu.
Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan AS, John Kirby, AS sebaliknya, berkata, AS lebih kerap berhubung dengan Israel dengan memberi penekanan mengenai kepentingan melindungi nyawa orang awam.
"Kami akan berhati-hati dalam mengambil tindakan terhadap setiap apa yang berlaku di lapangan," kata Kirby kepada CNN, sambil menegaskan, AS masih mengumpul maklumat mengenai serangan tersebut.
Beliau, dalam masa sama, tidak dapat memberikan anggaran kematian rakyat AS.
Tidak ketinggalan, Kirby juga enggan berkongsi lanjut reaksi peribadi Presiden AS, Joe Biden terhadap serangan udara yang berlaku pada hari Selasa lalu.
"Tiada perbualan yang kita (AS) ada dengan rakan sejawatan di Israel yang tidak mencerminkan kebimbangan berterusan kita terhadap kematian orang awam dan menggesa mereka untuk berhati-hati untuk mengelakkan risiko tersebut," katanya.
"Anda akan terus mendengar daripada Presiden (AS) mengenai kebimbangan besar kita terhadap keselamatan orang awam," tambah Kirby lagi. - CNN/ Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!