Taktik penipuan guna nama ADUN aktif di WhatsApp


Mohd Najwan kongsi taktik penipuan guna nama ADUN melalui WhatsApp.
Mohd Najwan kongsi taktik penipuan guna nama ADUN melalui WhatsApp.
A
A
A

SHAH ALAM - Taktik penipuan yang menyalahgunakan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis dikesan aktif di aplikasi WhatsApp.

Perkara itu dikongsi Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi di laman X selepas menerima satu hantaran menerusi aplikasi tersebut pada malam tadi.

"Entah scammer mana menyamar jadi ADUN Rembia nak menipu malam-malam buta ni," kongsi Mohd Najwan dalam satu hantaran di laman X pada Rabu malam.

Berdasarkan perkongsian tangkap layar Mohd Najwan yang juga ADUN Kota Anggerik, individu yang menggunakan nama Muhamad Jailani itu mahu meminjam sejumlah wang daripadanya.

Bagaimanapun, beliau tidak memasukkan wang yang diminta sebanyak RM1,500 yang didakwa untuk digunakan bagi pembayaran kereta sebaliknya mempermainkan individu terbabit.

Mohd Najwan turut meminta individu terbabit bekerja untuk mendapatkan duit dan bukannya melakukan penipuan seperti itu sebelum berkongsi tangkap layar perbualan mereka di laman X.

Perkongsian Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri itu juga sebagai peringatan kepada orang ramai agar tidak terpedaya dengan individu yang dipercayai menyamar sebagai ADUN Rembia.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!