Jenazah warga emas dibunuh selamat dikebumi
KEMAMAN - Jenazah tukang jahit yang maut selepas dipercayai dilanggar dan ditikam rakan kongsinya, di Batu 23, Jalan Kuala Berang, di Hulu Terengganu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Kenangan, Kampung Baru Kerteh, Kemaman kira-kira jam 12.15 tengah malam Khamis.
Terdahulu, jenazah warga emas berusia 65 tahun itu dibawa dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan tiba di Masjid Tengku Mizan Zainal Abidin untuk disolatkan.
Pada Rabu mayat seorang wanita warga emas ditemui tertiarap di dalam longkang dengan kesan tikaman di bahagian badan, dipercayai dilanggar dan ditikam rakan perniagaannya yang berusia 35 tahun.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, kejadian dikatakan berlaku selepas terjadi pertelingkahan antara mangsa dan suspek gara-gara ketidakpuasan hati berhubung agihan hasil keuntungan perniagaan mereka.
Susulan itu, polis telah menahan seorang suspek berusia 35 tahun kira-kira jam 11 pagi Rabu, di kediamannya di Wakaf Tapai, Marang. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!