Tarik balik jualan akesori kereta undang risiko keselamatan - NGO

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) digesa untuk memulakan penarikan balik terhadap penjualan produk menghentikan bunyi amaran penggera tali pinggang keledar kereta kerana mempunyai risiko keselamatan besar kepada pengguna.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna-pengguna Standards Malaysia, Saral James Maniam berkata, penarikan balik produk itu perlu disegerakan dan dilaksanakan untuk menghentikan pengedaran dan penggunaan secara berleluasa.

Menurutnya, ia merupakan satu isu keselamatan mendesak yang perlu diberi perhatian kerana pengguna menggunakan alatan berkenaan untuk mematikan bunyi peringatan dalam kenderaan dan membolehkan pemandu serta penumpang memandu tanpa memakai tali keselamatan.

“Walaupun pengeluar produk ini mungkin mengiklankan produk ini sebagai suatu kemudahan tetapi ia sebenarnya bertentangan dengan prinsip-prinsip asas keselamatan jalan raya.

“Tali pinggang keselamatan adalah satu penemuan penting dalam dunia automotif yang direka khas untuk melindungi pemandu dan penumpang daripada kecederaan serius dalam kes kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Jelas Saral, tindakan mematikan atau mengelakkan penggunaan tali keselamatan adalah satu tindakan yang sangat berbahaya dan tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan agar Unit Penguatkuasaan JPJ mengambil langkah untuk melarang penjualan dan pengedaran produk sama ada di pasaran atau dalam talian.

Tambahnya, larangan tersebut perlu dikekalkan sehingga dapat dipastikan produk itu tidak lagi membawa risiko keselamatan kepada pengguna.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat beribu-ribu produk berkenaan telah pun dijual secara dalam talian yang boleh didapati dengan harga serendah RM2,” ujarnya.

Pada masa sama, Saral memberitahu tindakan seterusnya yang perlu dilakukan dengan cara meningkatkan kesedaran awam menerusi pendedahan tentang kepentingan penggunaan tali keselamatan, risiko dan akibat daripada ketidakpatuhan.

“Kami percaya bahawa dengan mengambil tindakan ini untuk memastikan keselamatan pengguna dan menghentikan perkembangan trend berbahaya ini.

“Kami juga sangat menghargai perhatian segera pihak berkuasa JPJ dan KPDN terhadap perkara ini dan bersedia untuk memberikan sokongan dalam usaha penarikan balik dan larangan produk itu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!