Kakitangan MYAirline diminta fail tuntutan di JTK - KSM
KUALA LUMPUR - Semua kakitangan di bawah syarikat MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) yang terjejas susulan penggantungan operasi penerbangan sejak 12 Oktober lalu diminta untuk memfailkan tuntutan gaji mereka di pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dalam kadar segera.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam satu kenyataan berkata, ia bertujuan membolehkan tindakan selanjutnya diambil selaras dengan perundangan sedia ada.
"KSM prihatin dengan situasi yang dihadapi kakitangan di bawah syarikat penerbangan MyAirlines. Pihak kementerian juga telah mengadakan pertemuan dengan mereka terlibat bermula 16 hingga 31 Oktober lalu.
“Seramai 123 pekerja telah memfailkan tuntutan baki gaji mereka di JTK terhadap syarikat penerbangan tersebut,” katanya pada Khamis.
MYAirline dalam satu kenyataan pada 12 Oktober lalu mengumumkan penggantungan operasinya sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Menurutnya, tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.
Dalam pada itu Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada Rabu menggantung Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) MYAirline yang berkuat kuasa serta-merta selaras dengan seksyen 43(1) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771].
Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Saripuddin Kasim, walaupun pembatalan ASL tersebut boleh dibuat, namun ia akan memberi kesan terhadap syarikat penerbangan itu yang sedang berusaha melakukan bayaran semula kepada penumpang terjejas.
Beliau berkata, MYAirline perlu bertanggungjawab membuat bayaran balik terhadap penumpang yang terjejas mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), walaupun lesen udara syarikat berkenaan telah digantung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!