Suami isteri direman bantu siasatan kes langgar, tikam warga emas
MARANG - Pasangan suami isteri direman selama tujuh hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes langgar dan tikam seorang warga emas dalam kejadian di Batu 23, Jalan Kuala Berang, Hulu Terengganu awal pagi Rabu.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Zur Azureen Zainalkefli di Mahkamah Majistret Marang di sini bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.
Suspek utama berusia 35 tahun yang bekerja sebagai peniaga dan suspek kedua seorang mekanik berusia 37 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis di sebuah kediaman di Wakaf Tapai, Marang pada Rabu.
Kedua suspek ditahan susulan kejadian seorang pesara kerajaan ditemukan maut dengan kesan tikaman pada badan dipercayai dibunuh rakan kongsi perniagaan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, mangsa yang berusia 65 tahun itu dipercayai dilanggar oleh suspek yang juga rakannya berusia 35 tahun sebelum bertindak menikam mangsa yang ketika itu berada di dalam longkang.
Katanya, siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan antara kedua-dua wanita tersebut dimana suspek dan mangsa dipercayai tidak berpuas hati dengan hasil agihan keuntungan perniagaan jualan pakaian yang dijalankan mereka berdua.
Ekoran pergaduhan itu, suspek yang ketika itu berada di dalam kereta bertindak melanggar mangsa sebelum turun dari kenderaan dan menikam mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah van.
Beliau memberitahu, siasatan awal dipercayai terdapat kira-kira 15 tikaman pada badan mangsa.
Jenazah warga emas tersebut selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Kenangan, Kampung Baru Kerteh di Kemaman jam 12.15 tengah malam Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!