WHO CA+, IHR 2005: Kerajaan jamin kedaulatan negara tidak dicabuli

Dr Zaliha ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Dr Zaliha ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan kedaulatan negara tidak dicabuli dalam rundingan Triti Pandemik Perjanjian Konvensyen Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO CA+) dan pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, mengenai instrumen baharu WHO CA+ dan pindaan IHR 2005 itu, pendirian Malaysia ketika ini adalah tidak memuktamadkan sebarang keputusan sama ada untuk meraktifikasi atau menolak sebelum 1 Disember ini.

Beliau berkata, rundingan bagi penyediaan dokumen Badan Perundingan Antara Kerajaan (INB) WHO CA+ masih diperingkat awal dan tiada keputusan akan diberikan sehingga segalanya dipersetujukan.

Perjanjian WHO CA+ bermatlamat mencapai kesaksamaan dan keberkesanan lebih besar untuk pencegahan, kesediaan dan tindak balas wabak melalui kerjasama antarabangsa sepenuhnya, bagaimanapun, ia dikhuatiri akan meluaskan kuasa WHO dan mencetuskan peruntukan dalam perjanjian dengan menggalakkan mana-mana kerajaan mengetepikan hak harta intelek mereka.

"Kerajaan Perpaduan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana keputusan (WHO CA+ dan pindaan IHR 2005) yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan komited memelihara kedaulatan negara, kuasa Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab persoalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai pendirian Malaysia untuk meraktifikasi atau menolak WHO CA+ dan pindaan IHR 2005 sebelum 1 Dis ini.

Dr Zaliha berkata, Malaysia juga akan mempertahankan prinsip keadilan dan solidariti dalam pentadbiran kesihatan global iaitu negara-negara maju perlu membantu negara membangun dengan sumber yang mereka ada selain pengagihan sumber yang adil serta saksama.

Beliau berkata, penyertaan Malaysia dalam rundingan itu dipacu dengan matlamat untuk membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih kuat dan lestari bagi memastikan sumber kesihatan adalah adil dan boleh diakses di peringkat global.

Sementara itu, pada sidang media di Bangunan Parlimen, Dr Zaliha berkata, dalam proses rundingan WHO CA+, Malaysia telah menghadiri enam daripada 10 sesi dan rundingan ke tujuh akan diadakan pada 6 hingga 10 November ini.
Artikel Berkaitan:


"Bagi rundingan pindaan IHR 2005 pula, Malaysia telah menghadiri lima daripada lapan sesi rundingan. Rundingan ini masih diteruskan sehingga selesai pada April depan,” katanya.

Dr Zaliha berkata, di peringkat Kementerian Kesihatan, pihaknya sedang giat melaksanakan sesi libat urus dengan 12 agensi dan kementerian lain bagi meneliti pindaan IHR 2005 dan WHO CA+.

Selain itu katanya, dua jawatankuasa turut ditubuhkan bagi meneliti pendirian Malaysia dalam isu itu dan keputusan yang dicapai akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaliha turut mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dimasukkan ke hospital berikutan masalah kesihatan.

"Saya hanya boleh sahkan kemasukan beliau di hospital tetapi apa yang berlaku, rawatan, penyakit dan sebagainya, saya tak boleh beritahu kerana confidential (sulit)," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Najib yang sedang menjalani hukuman penjara, dimasukkan ke hospital selepas disahkan positif Covid-19, Selasa lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!