Ibu terkenang perangai arwah Izuan

Ragayah menunjukkan gambar-gambar Allahyarham Izuan yang tinggal sebagai kenangan kepada dia sekeluarga.
Ragayah menunjukkan gambar-gambar Allahyarham Izuan yang tinggal sebagai kenangan kepada dia sekeluarga.
A
A
A

IBU kepada jurulatih badminton Allahyarham Izuan Ibrahim antara insan yang paling sedih atas 'kehilangan'.

Ragayah Mohd Noor, 58, berkata, dia masih terkenang sikap Allahyarham yang sentiasa ceria serta menjadi penyeri dalam keluarga.

Katanya, anak ketiga daripada lima beradik yang juga tunggal lelaki dalam keluarga sangat disenangi rakan-rakannya.

"Arwah suka membuat lawak dan kehadirannya sangat dirindui keluarga setiap kali berkumpul. Arwah selalu membuat mimik muka kelakar. Dia tidak pernah lupa untuk pulang ke rumah serta meletakkan keutamaan untuk menjenguk saya di sini.

“Dia anak yang sangat baik, apabila berkumpul pada hari raya atau keraian, dialah penyeri, kehadirannya selalu disedari ramai kerana telatahnya yang mesra,” katanya yang sebak ketika ditemui di rumahnya di Taman Uda Murni di sini hari ini.

Izuan anak kelahiran Kelantan yang namanya dikenali rakyat Malaysia apabila membantu Jepun menjuarai Piala Thomas buat pertama kali pada tahun 2014 sebagai jurulatih.

Ragayah tidak dapat menahan sebak setiap kali menerima salam takziah daripada keluarga dan kenalan namun tetap reda dengan pemergian itu.
Ragayah tidak dapat menahan sebak setiap kali menerima salam takziah daripada keluarga dan kenalan namun tetap reda dengan pemergian itu.

Ragayah berkata, minat Allahyarham terhadap badminton bermula sejak kecil seawal usia lapan tahun yang diwarisinya daripadanya Ragayah sendiri dan dilatih dengan arwah Hashim Ihsan serta Misbun Sidek.

Artikel Berkaitan:

“Arwah ada juga memberitahu saya dia sedih meninggalkan Jepun dan pemain Jepun juga sayang padanya namun semangat untuk berbakti kepada negara sendiri lebih kuat menyebabkan dia balik ke Malaysia.

“Tinggal tujuh hari sahaja lagi untuk dia berbakti bersama BAM (Persatuan Badminton Malaysia) namun ALLAH lebih menyayanginya. Kami sekeluarga reda dan sudah tentu ada hikmah di sebalik ujian ini,” katanya.

Sementara itu, bekas anak didik Allahyarham yang berasal dari Johor, Muhammad Affan Atabek Baharuddin, 17, sempat menerima pesanan terakhir daripada bekas jurulatih persendiriannya itu.

Katanya, arwah berpesan supaya dia meneruskan perjuangan dalam sukan badminton dan terus menggunakan ilmu yang pernah dicurahkan walaupun dia sudah tiada suatu hari nanti.

“Arwah sepatutnya ke Jepun bersama sama untuk berlatih badminton namun hanya saya yang pergi kerana dia jatuh sakit. Walaupun hanya dua bulan sempat menjadi jurulatih peribadi, saya sudah menganggapnya seperti abang kandung.

Muhammad Affan Atabek (kanan) yang tidak dapat menahan sebak terkenan pesanan terakhir arwah kepadanya.
Muhammad Affan Atabek (kanan) yang tidak dapat menahan sebak terkenan pesanan terakhir arwah kepadanya.

“Arwah tidak loket dan sangat profesional ketika melatih serta suka memberi motivasi. Beliau juga berpesan supaya saya memanfaatkan ilmu yang diajarkan walaupun saya berada di bawah jagaan jurulatih lain. Itu nasihat terakhirnya sebelum dia sakit,” katanya sebak.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.20 malam semalam di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Sebelum itu Allahyarham diberi bantuan pernafasan dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak 19 Disember lalu selepas dikesan mengalami pendarahan otak susulan muntah-muntah akibat migrain seterusnya tidak sedarkan diri.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Siti Marsyhtah Muhammad dan tiga anak.

Jenazahnya Izuan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Banggol Pantai Cahaya Bulan di sini malam tadi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!