Minggu Solidariti Palestin platform selamat pelajar zahirkan sokongan
AMPANG JAYA - [DIKEMAS KINI] Pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin memberi ruang kepada pelajar untuk menzahirkan sokongan dan rasa simpati terhadap rakyat Palestin yang diserang rejim Zionis tanpa henti sejak 7 Oktober lalu.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ahmad Razali, Rose Aliza Sutrisno berkata, program berkenaan merupakan salah satu sumbangan kecil yang dapat diberikan kepada rakyat Palestin.
“Banyak bantuan yang boleh kita salurkan untuk membantu mereka dan salah satu daripadanya ialah penganjuran program seperti ini. Sekecil mana pun sumbangan itu, ia amat bermakna untuk saudara di sana (Gaza).
“Saya harap semoga program ini akan mewujudkan budaya sukarelawan dalam kalangan pelajar dan menjadi asbab perpaduan dalam negara semakin erat tanpa mengira agama serta bangsa untuk membantu sesiapa sahaja yang ditindas,” katanya ketika majlis pelancaran tabung sumbangan kepada rakyat Palestin sempena MSP pada Khamis.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin; ADUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr Ahmad Rafee Che Kassim dan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Abu Hanipah@Fauzi Zahari.
Program itu turut diserikan dengan persembahan sajak bertajuk Sayap Rabik Merpati di bumi Palestin dan Meskipun Hanya Sebiji Batu oleh Nazeef Ameer Nazshahrizad, 13, serta Adreanna Qaleesya Syafiq Wazan, 13, manakala syair berjudul ‘Mengenang Rouzan An-Najar’ pula disampaikan Fatin NurBatrisyia Mohamad Faizal, 13.
Dalam masa sama, guru Bahasa Inggeris, P Shobha Menon, 52, berpendapat, penerapan nilai kemanusiaan merupakan salah satu tanggungjawab guru dalam mendidik anak bangsa untuk menegakkan kebenaran.
“Menerusi program ini, kita dapat terapkan keberanian dan nilai kemanusiaan dalam diri pelajar di mana ia akan membentuk mereka menjadi individu yang tidak berasa gentar untuk membela nasib mana-mana pihak yang menjadi mangsa kezaliman,” katanya.
Pelajar Tingkatan 5, Sarah Safyyah Saiful Azwan, 17, pula berkata, program berkenaan telah membuka minda lebih ramai pelajar supaya memahami dan mengambil berat mengenai keadaan yang berlaku di bumi Gaza.
Ujarnya, ia menjadi salah satu cara untuk dia dan rakan-rakan menunjukkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam menentang rejim Zionis selain menggunakan media sosial.
Turut berkongsi pandangan, pelajar Tingkatan 5, Muhammad Shazwan Aiman Nor Azlan, 17, dia dan rakannya teruja dengan program anjuran kementerian itu kerana mendedahkan mereka kepada nilai kemanusiaan untuk berjuang mempertahankan kebenaran.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggalakkan penganjuran Minggu Solidariti Palestin di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya bermula 29 Oktober hingga 3 November sebagai platform mendidik murid tentang nilai-nilai murni, toleransi, kasih sayang dan saling menghormati.
Ia bertujuan mendidik murid nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi kemanusiaan, keamanan dan kedamaian sejagat dengan mengikuti panduan penganjuran yang ditetapkan KPM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!