Impian dua kanak-kanak pesakit kanser tahap akhir naik helikopter tercapai
KEPALA BATAS - Impian dua kanak-kanak yang menghidap kanser tahap akhir untuk menaiki helikopter akhirnya tercapai hari ini selepas mereka masing-masing berusia sembilan tahun itu dibawa merasai berada dalam helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Muhamad Firas Haziq Samsol yang menghidap kanser tulang dan pesakit kanser otak, Nurul Umairah Abd Rahman dibawa merasai berada dalam helikopter kira-kira 15 minit oleh Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) dengan kerjasama JBPM.
Helikopter dari Pasukan Udara JBPM itu berada di Pangkalan Udara Wilayah Utara JBPM di Bertam di sini dan dalam keadaan kipas dan enjin yang masih hidup, dua kanak-kanak itu bersama seorang lagi remaja Muhamad Yazeed Muhamad Yamin, 15, pesakit leukemia dibawa merasai berada di tempat duduk penumpang di dalam helikopter tersebut.
Walaupun tidak dibawa terbang dalam helikopter itu, namun mereka bertiga terutama Muhammad Firas Haziq dan Nurul Umairah kelihatan cukup teruja dan gembira sekali malah turut berharap akan dapat menaiki lagi pada masa hadapan.
Nurul Umairah yang berasal dari Pendang, Kedah, ketika ditemui media beberapa kali menyebut seronok dan gembira dapat merasai pengalaman berada dalam helikopter.
Nurul Umairah yang sedikit lemah dan berada di atas kerusi roda berkata beliau sangat teruja dan memang bangun awal hari ini iaitu sekitar 5 pagi kerana tidak sabar untuk datang menaiki helikopter hari ini.
Ibunya, Nor Syahirah Mohd Fauzi, 27, berkata, Nurul Umairah yang merupakan anak sulung daripada dua beradik disahkan sakit kanser otak sejak tiga tahun lepas ketika berada di Prasekolah selepas kerap muntah-muntah dan jatuh secara tiba-tiba.
Katanya, beliau dan suami membawanya untuk pemeriksaan di hospital dan sehingga saat ini semua rawatan untuk Nurul Umairah telah selesai malah tiada lagi rawatan untuknya namun mereka sekeluarga sentiasa mendoakan agar beliau kembali sihat.
"Doktor maklumkan tiada lagi rawatan untuk Umairah, kami sekeluarga reda dengan ketentuan ini dan sekarang ini hanya nak gembirakan dia. Namun dalam masa sama, kami tidak menyerah dan berharap semoga ada keajaiban buat anak saya, hari ini nampak wajah dia gembira dan teruja sangat dapat merasai berada dalam helikopter.
"Sejak tahu akan dapat naik helikopter boleh katakan setiap hari Umairah tanya bila boleh pergi naik (helikopter) dan kami gembira tengok keadaan dia hari ini," katanya yang beberapa kali sebak.
Bagi Muhammad Firas Haziq yang berasal dari Alor Star, Kedah, pula beliau juga teruja selepas dimaklumkan dapat peluang merasai pengalaman berada di dalam helikopter dan turut bangun awal untuk datang ke sini hari ini.
"Gembira sangat boleh masuk dalam helikopter sebab memang dah lama teringin nak rasainya...kali ini boleh nampak depan-depan dan dekat (helikopter), terima kasih pihak bomba bagi peluang," katanya.
Muhammad Firas Haziq juga telah selesai menjalani rawatan di hospital selepas disahkan menghidap kanser tulang sejak berusia 5 tahun.
Sementara itu, Timbalan Komander 1 Pangkalan Udara JBPM Wilayah Utara Mohamad Fisol Rosli berkata selain merealisasikan hasrat kanak-kanak itu, pihaknya juga turut membawa mereka menaiki jentera bomba bagi memberikan pengalaman baharu dan keterujaan.
"Kita bawa adik-adik ini dekat dengan helikopter bagi rasa keterujaan iaitu apabila bilah helikopter tengah berputar kerana mereka dari awal memang tengok sendiri dan buat demo penyelamatan dan bawa naik jentera bomba bagi rasa macam mana bomba nak keluar pemadaman," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!