Usah perlekeh usaha orang lain - Shaheizy Sam
DI sebalik usaha orang ramai memboikot produk atau jenama antarabangsa sebagai solidariti buat Palestin, kedengaran 'suara nyamuk' yang memperlekehkan tindakan itu dan beranggapan ia hanyalah sementara.
Tidak bersetuju dengan perkara itu, pelakon berkaliber, Shaheizy Sam berpendapat, tindakan segelintir pihak memperlekehkan usaha itu seperti budak yang belum matang.
Tegas aktor berusia 41 tahun itu, tidak seharusnya seseorang individu melemahkan semangat orang lain yang berusaha membuat kebaikan.
“Bagi saya, orang yang suka memperlekehkan ini budak-budak bawah 12 tahun, kalau ada yang dewasa fikir begini maka mereka sebenarnya masih kebudak-budakan.
“Walaupun awak tak baik atau tak boleh buat baik, jangan perlekeh usaha orang lain.
“Kalau tak ada benda yang bermanfaat untuk diperkatakan, baik tutup sahaja mulut,” ujarnya.
Sam berkata demikian ketika ditemui selepas tayangan perdana filem terbaharu lakonannya, La Luna.
Tambah Sam, sebagai selebriti dan pernah menggayakan jenama antarabangsa, dia kini mula beralih kepada jenama tempatan dan kesal melihat jenama yang pernah digayakan sebelum ini menyatakan sokongan terhadap rejim Zionis.
“Dulu saya bangga bila memakai jenama antarabangsa, tetapi kini saya sudah mula memboikot barangan yang menyalurkan sumbangan kepada tentera Zionis sama ada secara langsung atau tidak. Insya-ALLAH saya akan terus menyokong produk tempatan.
“Malah saya mula kumpul senarai produk berkait dengan pihak yang menjadi penyumbang terhadap Zionis. Dulu mungkin kita terlepas pandang perkara ini, tetapi kini kita kena lebih peka,” katanya.
Tidak hanya mengharapkan sokongan daripada rakyat, suami kepada pelakon Syatilla Melvin ini turut berharap jenama tempatan yang mula menjadi perhatian ramai dapat menyalurkan sumbangan kepada Palestin.
“Kita lihat macam mana jenama luar boleh nyatakan sokongan dengan salur dana kepada negara haram itu. Maka, dengan keuntungan yang jenama atau produk tempatan ini dapat, salurkanlah pada Palestin pula.
“Ini bukan tentang agama, tetapi kemanusiaan,” tuturnya.
Ingat anak
Sementara itu, mengulas penglibatannya dalam filem La Luna, arahan pengarah dari Singapura, M Raihan Halim, Sam berkata, dia sudah lama menantikan sebuah karya sebegini dan berasa seronok sepanjang proses penggambaran.
Ujarnya, kali terakhir merasakan perkara sama adalah ketika menjalani penggambaran filem Songlap pada 2010.
“Filem ini ringan tetapi ada mesej sangat besar. Watak saya sebagai ketua balai polis di kampung bersama Salihin.
“Kalau dalam Polis Evo orang akan lihat saya sebagai polis yang serius, tangkas tetapi dalam La Luna, saya tampil sebagai polis yang santai dan penuh humor,” ujarnya.
Sam berkata, filem ini juga membuatkan dia terkenang, dua anak perempuannya di rumah.
“Dulu saya tak pernah terfikir macam mana anak saya bila besar, tetapi lepas jayakan watak Salihin ini, saya mula rasa janganlah anak saya cepat membesar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!