Titah Agong supaya jaga Missclyen sebaik-baiknya jadi pegangan Roland
BINTULU - "Jaga anak rahmat Tuhan ini dengan sebaik-baiknya”.
Titah pesanan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu akan terus menjadi pegangan Roland Jimbai, bapa kepada anak istimewa Missclyen Roland yang diambil menjadi anak angkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah baru-baru ini.
Titah yang disampaikan Al-Sultan Abdullah semasa persinggahan konvoi Kembara Kenali Borneo di Kampung Penan Muslim Batu 10, di sini pada September lepas menjadi permulaan kepada hubungan antara keluarga Roland dengan pasangan diraja itu.
"Pada masa itu saya fikir mungkin kita tidak dapat berjumpa (Seri Paduka Baginda) kerana pada masa itu orang terlalu ramai tetapi kami bersyukur kerana rezeki untuk berjumpa itu ada.
Perjumpaan itu sangat singkat tapi saya ingat Al-Sultan Abdullah minta agar saya jaga Missclyen dengan baik, perkara itu yang saya ingat sampai sekarang,” katanya semasa ditemui pemberita di sini, hari ini.
Missclyen yang dilahirkan dengan wajah dan tubuh berbulu lebat akibat sindrom congenital generalised hypertrichosis (CGH), bersama ibu bapanya menarik perhatian umum apabila dapat mengabadikan pertemuan singkat menghadap Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ketika konvoi Kembara Kenali Borneo singgah di pekarangan Masjid Al-Falah, Kampung Penan Muslim Batu 10, Bintulu-Miri pada 10 Sept lepas.
Pada Rabu, menerusi satu hantaran di media sosial, ibu kepada Missclyen, Theresa Gunting memaklumkan menerima warkah daripada Istana Negara yang menyatakan kesudian Tunku Azizah untuk mengambil Missclyen, dua tahun, sebagai anak angkat.
Dalam warkah bertarikh 10 Oktober itu, Tunku Azizah menzahirkan hasrat baginda membiayai belanja persekolahan Missclyen selain rawatan penyakit Hypertrichosis atau "Sindrom Werewolf” yang dihidapi kanak-kanak perempuan itu.
Sementara itu, Roland sempat menceritakan pengalaman bagaimana beliau dan keluarganya sebelum ini pernah dicemuh disebabkan keadaaan anaknya yang dilahirkan pada 2021 itu.
"Sejak kelahiran Missclyen pelbagai perkataan telah saya dengar mengenai anak saya. Walaupun air mata saya jatuh tetapi saya tetap kuat untuk mendidik dia setakat mana yang saya mampu,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!