Penganggur direman disyaki rogol adik tiri
KEMAMAN - Seorang penganggur direman selama seminggu bermula Khamis selepas disyaki merogol adik tirinya yang berusia 14 tahun.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, polis menahan lelaki berusia 32 tahun itu pada malam Rabu selepas menerima laporan daripada mangsa berkenaan perbuatan terkutuk itu.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan daripada seorang remaja berusia 14 tahun yang mendakwa dirogol abang tiri dan bapanya yang berusia 56 tahun dalam kejadian kira-kira dua bulan lalu.
"Perbuatan terkutuk dua individu tersebut terbongkar selepas remaja perempuan itu mengadu kepada ibu saudaranya.
"Remaja berkenaan mendakwa dia dirogol secara berasingan oleh kedua-dua individu tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.
Hanyan berkata, hasil pemeriksaan pihak hospital mendapati terdapat kesan koyakan pada kemaluan mangsa
Dalam pada itu, beliau berkata hasil ujian saringan urin mendapati suspek negatif dadah.
Katanya, pihak polis kini giat mengesan bapa mangsa yang merupakan seorang peniaga kuih di Chukai.
"Kita percaya bapa remaja tersebut cuba menyembunyikan diri selepas mendapat tahu anaknya membuat laporan polis," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!