Kejohanan ESukan Rakan Muda bersaing rebut ganjaran RM50,000

Kejohanan ESukan Rakan Muda Luar Bandar 2023 berlangsung pada Khamis. (Gambar kecil: Dari kiri; Azlan, Nik Justin dan Sahrin)
Kejohanan ESukan Rakan Muda Luar Bandar 2023 berlangsung pada Khamis. (Gambar kecil: Dari kiri; Azlan, Nik Justin dan Sahrin)
A
A
A

SUBANG - [DIKEMAS KINI] Kejohanan ESukan Rakan Muda Luar Bandar 2023 menghimpunkan seramai 500 peserta termasuk masyarakat Orang Asli dalam persaingan merebut hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.

Pengarah Urusan Maqna Momento Sdn Bhd (Maqna), Sahrin Sapuan berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula pada Khamis itu mempertandingkan dua acara e-sukan iaitu Mobile Legends Bang Bang (MLBB) dan PlayerUnknown's Battlegrounds Mobile (PUBGM).

Ujar beliau, penganjuran kejohanan yang terbuka kepada peserta berumur 15 tahun ke atas itu bertujuan bagi memberi pendedahan mengenai pertandingan e-sukan terhadap golongan belia khususnya masyarakat luar bandar serta Orang Asli di negara ini.

"Bagi hadiah pemenang, jumlah keseluruhan adalah RM50,000. Kita pecahkan wang hadiah itu kepada dua dengan RM25,000 setiap satu permainan.

"Tempat pertama akan memenangi wang tunai sebanyak RM10,000, diikuti dengan tempat kedua, RM7,000, ketiga (RM5,000) dan keempat (RM3,000)," katanya ketika di Ballroom Summit Hotel USJ, Subang pada Khamis.

Menurutnya, pertandingan yang bermula pada jam 10 pagi hingga 10 malam itu turut bersiaran secara langsung menerusi platform media sosial e-Sukan Maqna.

Dalam pada itu, Pengarah Pembangunan Modal Insan dan Kebajikan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Azlan Mohamed berkata, program tersebut dilihat mendapat sambutan yang memberangsangkan khususnya melibatkan komuniti Orang Asli dengan kehadiran satu pertiga daripada jumlah peserta.

Ulas beliau, penyertaan masyarakat Orang Asli dalam pertandingan ini menunjukkan bahawa mereka mempunyai potensi untuk mengasah bakat seterusnya meneroka peluang kerjaya e-sukan ke peringkat lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Program ini sebenarnya tiga dalam satu. Pertamanya, untuk mengaktifkan anak-anak belia Orang Asli dalam e-sukan kerana ia merupakan antara 103 sukan yang diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Kedua, kami juga membuka peluang kepada pihak belia Orang Asli dan luar bandar ini dari segi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di mana contohnya Akademi Playbook dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengadakan pameran kerjaya di sekitar kawasan ini.

"Ketiga, peluang pekerjaan secara terus kerana Jakoa bersama PERKESO telah menjemput seramai 25 syarikat besar seperti Malaysia Airlines dan KK Super Mart untuk mereka dapatkan temuduga secara terus," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, kejohanan kali ini merupakan kerjasama Sinar Harian kedua dengan Maqna selaku media bersama.

Jelasnya, industri e-sukan bukan sahaja menjadi platform belia semata-mata malah diyakini mampu menjana pendapatan kepada generasi muda masa kini.

"Selain daripada dapat memantap ekonomi negara, saya lihat e-sukan ini adalah satu platform penyatuan komuniti.

"Sebagai contoh baru-baru ini, permainan Roblox di mana seorang pemain tempatan kita sendiri yang berusia 15 tahun menganjurkan protes pro-Palestin dalam permainan video Roblox sehingga berjaya mendapat perhatian seluruh dunia," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!