Bekas Ahli Parlimen Sekijang meninggal dunia
JOHOR BAHRU - Bekas Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail meninggal dunia akibat kanser di Hospital Segamat pada Khamis.
Allahyarhamah yang juga Ahli Majlis Pimpinan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) berusia 73 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 9 malam.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor, Mohamad Taufiq Ismail menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai satu kehilangan besar khususnya bagi parti berkenaan.
"AMK Johor menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarhamah Natrah Ismail atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Kak Natrah’.
"Satu pemergian dan kehilangan besar khususnya bagi keluarga besar Keadilan.
"Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah," tulisnya dalam Facebook miliknya pada malam Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!