Pemimpin PKR berduka kehilangan Natrah
SHAH ALAM - Beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menzahirkan kedukaan di atas kehilangan bekas Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail, 73, akibat kanser di Hospital Segamat pada jam 9 malam tadi.
Khabar duka itu turut dikongsi oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi hantaran di aplikasi X berkata, perkhabaran tersebut cukup menyedihkan kerana kehilangan individu yang dianggap tertib sepanjang menjadi ahli Parlimen.
“Kami berkhidmat bersama dalam Parlimen ke-14. Beliau seorang yang baik, tertib, dan sentiasa gigih perjuangkan nasib rakyat.
“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmatNya. Al-fatihah,” katanya pada Khamis.
Allahyarhamah yang juga Ahli Majlis Pimpinan Wanita PKR dipilih menjadi Ahli Parlimen Sekijang dari tahun 2018 sehingga 2022.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim turut merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarhamah.
“Dalam berduka, saya rakamkan takziah buat ahli keluarga dan setiap yang pernah bersama dengan Almarhumah.
“Semoga diberi kekuatan dan ketabahan pada saat ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!