SAC kembali gamit pemain amatur terbaik Asia
KEJOHANAN Golf Amatur Saujana (SAC) kembali memikat tontonan apabila edisi ke-32 bakal diadakan pada 12 sehingga 15 Disember ini selepas menyepi dua tahun gara-gara pandemik Covid-19.
Pemain terbaik dari rantau Asia termasuk Malaysia akan memperagakan kelibat masing-masing pada pentas saingan ini yang bermula sejak 1988 di Kelab Golf & Country Saujana (SGCC).
Pengarah SAC, Hew Kwee Fah berkata, pemain yang bertanding pada kejohanan ini berpeluang untuk beraksi di padang ‘Cobra’ yang digeruni iaitu gelaran bagi Palm Course yang dilabel antara yang terkenal di dunia.
“Kami amat teruja untuk mengembalikan semula SAC yang terpaksa dihentikan kerana penularan wabak pada 2020.
“Saya pasti barisan pemain bakal bersaing mampu mencabar ‘Cobra’ untuk memburu trofi kejuaraan nanti,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Penganjuran kali ini juga bakal mendapat kerjasama daripada Persatuan Golf Malaysia (MGA), R&A dan barisan pemain yang memperoleh Gold Amatur Dunia (WAGR).
Kwee Fah menambah, pemenang edisi terdahulu, umpamanya Robert Allenby, Tim Wilkinson, Danthai Boonma termasuk jaguh negara, Gavin Kyle Green berjaya menonjolkan kemampuan masing-masing pada kejohanan ini sebelum bertukar status menjadi profesional.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur SAC, Thum Wai Choong meluah rasa terujanya menyambut semula kehadiran pemain amatur terkemuka dari rantau ini untuk menyertai SAC.
Beliau turut memaklumkan, SGCC juga menjadi tuan rumah bagi beberapa acara seperti Jelajah Pembangunan Asia (ADT) dan Kejohanan Remaja Saujana 100PLUS, Jun lalu.
“Saya yakin, SGCC mampu menjadi pentas pertandingan yang terbaik bagi kejuaraan tersebut nanti,” katanya.
Sejak kejohanan dimulakan, pemain negara berjaya memenangi trofi kejuaraan 11 kali, ini termasuk bekas pemain bola sepak negara, Wong Hung Nung pada 1989.
Gavin Green muncul pemenang terbanyak untuk Malaysia dengan tiga kejuaraan pada 2019, 2011 dan 2012 manakala pemain negara, S Nachimuthu dua kali pada 1996 dan 1997.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!