Sukarela tarik diri dari Liga Super
PASUKAN yang tidak mampu untuk memikul beban kewangan musim depan disarankan menarik diri daripada Liga Super dan beraksi dalam saingan Liga M3.
Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, setiap pasukan perlu berjiwa besar dengan tidak mengambil risiko beraksi di Liga Super sekiranya tidak mempunyai kewangan yang kukuh sekali gus mengelakkan masalah tunggakan gaji berlaku.
Menurutnya, Liga M3 menjadi tempat sesuai kepada pasukan yang mempunyai bajet yang kecil sekitar RM1.5 juta semusim berbanding Liga Super yang menelan belanja sekurang-kurangnya RM10 juta semusim.
"Bagi saya langkah terbaik untuk mengelakkan masalah tunggakan gaji ini berulang adalah daripada pasukan itu sendiri. Kalau rasa tak mampu untuk mencari sumber kewangan yang banyak, maka sukarela turun ke Liga M3.
"Kalau mereka lulus pelesenan kelab sekali pun, tetapi rasa tidak mampu, mereka kena berjiwa besar untuk tarik diri secara sukarela.
"Ia adalah satu langkah yang terbaik dan dalam masa sama tidak menganiaya pemain-pemain dengan masalah tunggakan gaji. Imej liga kita juga tidak akan terjejas kerana masalah ini berlaku setiap tahun," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Sebelum ini, beberapa kelab seperti Kelantan FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) dilaporkan berdepan masalah kewangan sehingga gagal melunaskan gaji pemain.
Malah, MFL sendiri masih belum mengumumkan pasukan kelab yang mendapat lesen Liga Super selepas tarikh tutup menyerahkan segala dokumen berkaitan pasukan pada 30 September lalu.
Badan pentadbir liga itu turut mengesahkan dua pasukan dari Liga M3 tidak berminat untuk beraksi di Liga Super musim depan selepas mereka tidak menghantar dokumen pelesenan kepada MFL.
Dalam pada itu, Jamal Nasir turut mahu MFL lebih tegas dalam menapis pasukan yang layak selain tidak memberikan kelonggaran yang akan menyaksikan masalah kewangan terus membelenggu pasukan.
"Kita sudah profesional mana boleh longgarkan lagi syarat-syarat sedia ada. MFL juga perlu melihat keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu yang juga akan memberikan kesan kepada penajaan pasukan.
"Pasukan-pasukan ini kalau dah bermain di Liga Super, mereka tidak akan ukur baju di badan sendiri dan boros mencari pemain import yang mahal. Kesannya sudah tentu seperti yang berlaku ketika ini.
"Saya puji pasukan dari Liga-M3 yang tidak mahu naik ke Liga Super kerana mungkin mereka menyedari sukar untuk mencari penajaan yang besar dalam tempoh singkat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!